Wujudkan Mahkamah Vaksin – Dr Musa Nordin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 16 Mac 2022 – Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Neonatologi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin mencadangkan agar mahkamah vaksin ditubuhkan bagi menentukan punca kes kematian individu yang telah menerima vaksin COVID-19.
Cadangan itu dibuat susulan keberkesanan mahkamah vaksin yang diwujudkan di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Singapura.
“Saya sudah lama mencadangkan supaya KKM mengguna kaedah di Amerika Syarikat atau di Singapura, di mana ada mahkamah vaksin.”
“Sebab, sekarang ini KKM yang menentukan. Jadi, nampak sedikit berat sebelah.”
“(Sebaliknya) mahkamah vaksin ini akan menentukan sama ada kematian disebabkan oleh vaksin atau komorbiditi iaitu penyakit lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang ahli panel dalam forum awam yang berlangsung secara maya bertajuk ‘Vaksin COVID-19: Adakah anak anda perlukannya?’ pada Ahad lalu.
Menurut beliau, di Amerika Syarikat mahkamah vaksin berjaya membuktikan 80 peratus kematian mereka yang telah divaksin adalah disebabkan faktor lanjut usia dan tiada kes melibatkan vaksin Pfizer atau Moderna.
“Hanya di Malaysia ada masalah ini. Seperti contoh, ada kes meninggal dunia ketika berbasikal tiga hari selepas ambil vaksin, terus dikatakan puncanya adalah vaksin. Namun hasil bedah siasat menunjukkan mereka ada serangan jantung.”
“Jadi, yang baiknya di Amerika Syarikat, ada mahkamah yang menentukan. Sekarang ini, (di Malaysia) semua KKM tentukan. Itu sebab timbul rasa gelisah rakyat tentang kaedah yang dilakukan,” ujar Dr Musa.
Ketua Seksyen Farmakovigilans, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM Farmasi Dr Azuana Ramli, turut sependapat dan mengakui banyak negara lain turut melaporkan kematian individu selepas menerima vaksin.
Jepun antara negara yang melaporkan 700 kematian setelah pemberian lebih 170 juta dos vaksin, namun tiada satu pun kematian dikaitkan dengan vaksin setelah penilaian dibuat.
“Saya terima soalan yang bertanya, dalam banyak-banyak kematian, tidak ada yang disebabkan vaksin?”
“Memang itulah hakikatnya. Bukan kita sahaja putuskan begitu, Jepun juga begitu,” katanya.
Jelasnya, untuk memastikan setiap pelaporan yang dibuat adalah lebih telus dan teliti, penambahan Ahli Jawatankuasa Farmakovigilans termasuk pakar dari universiti dan swasta telah dibuat.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan jika penerima vaksin COVID-19 mempunyai sebarang kesan sampingan serius, mereka boleh melaporkan terus kepada NRPA dengan mengisi borang di laman web.
“Kalau terkesan serius dengan vaksin, benda pertama perlu dibuat adalah dapatkan rawatan dahulu. Sebab itu KKM sudah sediakan tatacara panduan klinikal bagaimana untuk menangani kesan sampingan.”
“Apabila kita terima laporan itu kita akan hubungi semula pengadu sekiranya ada maklumat klinikal dan medikal diperlukan,” ulasnya.