Wacana Keilmuan Pondok & Haflah Pelahar Pondok Model Nusantara Al Isyraq
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 11 September 2022 – Sabtu 10 September 2022 bersamaan 14 Safar 1444H telah berlangsung Wacana Keilmuan Pondok yang bertajuk “Pengaruh Keilmuan Pondok dalam Kepemimpinan di Alam Melayu”.
Wacana yang dianjurkan oleh Pondok Model Nusantara Al Isyraq (PMNI) dengan kerjasama International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) juga bersempena Haflah (konvokesyen) pelajar PMNI dan meraikan sambutan Hari Malaysia.
Wacana di Dewan Utama ISTAC ini telah disertai sekitar 200 orang pencinta Agama, Bangsa dan Tanah Air yang terdiri dari wakil atau anggota ulama dari Jam’iyah Ulama Fathoni, Yayasan Kerukunan Ulama Nusantara(YAKUN -Indonesia), Jamaah Tabligh, Institusi atau Pertubuhan Pondok dalam Malaysia , Nahdatul Ulama Malaysia (NAAM), aktivis masyarakat, alumni serta pelajar-pelajar dari pondok dan madrasah.
Ucaptama wacana telah dibentangkan oleh Syeikh Rohimuddin Nawawi Al Bantani , pengasas serta penaung PMNI dan disambut dengan kupasan serta komentar oleh Baba Abdullah dari Jam’iyah Ulama Fathoni, Tuan Guru Hj Ahmad Raqim dari Persatuan Guru Pondok Trengganu, Abuya Abu Aswad dari Madrasah Ahbabul Mustofa Kelantan, Ustaz Ahmad Faiz wakil NAAM, Maulana Lutfi dari Madrasah Tabligh Sri Petaling, Ustaz Sulthon dari Indonesia, Ustaz Johari, Datuk Nizam dan beberapa peserta lain. Moderator wacana ialah Tengku Ahmad Ridhauddin, pelajar Phd ISTAC.
Antara intipati wacana dirangkumkan sepertimana berikut :
1. Lipatan sejarah Alam Melayu sebelum campur tangan atau penjajahan asing jelas mencatatkan pengaruh Ulama dan Institusi Pondok dalam kepimpinan dan juga pembangunan masyarakat dan negara. Di era perjuangan menentang penjajah dan fasa kemerdekaan juga masih terdapat fakta dan bukti nyata pengaruh serta penglibatan kalangan Ulama dan komuniti Pondok atau Pesantren (di Indonesia) walaupun kurang dimasyhurkan dalam teks silibus pendidikan moden.
2. Realiti masa kini menyaksikan perkembangan sistem pendidikan sekular, ekonomi kapitalis, budaya hidup materialistik dan hedonistik telah membentuk suatu cabaran yang meminggirkan kewujudan sistem serta keaslian pondok di tengah masyarakat.
3. Institusi pondok yang dahulunya masyhur sebagai benteng Islam dengan kualiti penguasaan ilmu Syariah dan nilai kerohanian yang luhur, keikhlasan dalam dakwah serta tarbiyah umat dan teladan akhlak yang mulia kini mengalami kemunduran dan makin diabaikan oleh pemerintah mahupun masyarakat awam. Akibatnya kian terserlah dalam 3 model kehidupan umat Islam kini iaitu:
i) Ceremonial – kehidupan rutin ritual Islam yang kosong tanpa nilai kerohanian (spiritual)
ii) Verbal – Islam pada lisan, ceramah, debat serta semangat perselisihan yang kerap melahirkan perpecahan.
iii) Ornamental – Islam hanya pada simbol-simbol, atribut (sifat), pakaian dan slogan-slogan yang jauh dari kualiti dan nilai kemurnian Islam.
4. Menyedari akan maksud, fungsi serta peranan sejati institusi pondok dan amat pentingnya untuk memartabatkan kembali institusi pondok dalam arus semasa yang rencam ini, beberapa misi utama perlu dititikberatkan terutama oleh ulama dan pencinta institusi pondok:
i) Para guru pondok perlu berusaha membina “Haibah” (wibawa) dan “Hikmah” ( Kebijaksanaan) sebagai ulama panutan umat berteraskan kerohanian, keikhlasan, cinta akhirat dan kearifan hal setempat dan semasa.
ii) Mengukuhkan muafakat, kerjasama dan kebersamaan sesama guru-guru pondok dan juga kerjasama dengan institusi, agensi sama ada Kerajaan atau bukan Kerajaan dalam usaha pembinaan murid dan membimbing umat serta memakmurkan negara.
iii) Para guru pondok turut prihatin dalam memandu umat ke arah mengangkat kepimpinan yang baik, wibawa, berakhlak dalam setiap lapisan masyarakat. Kepimpinan yang baik akan mewujudkan kekuasaan yang baik untuk Agama, Bangsa dan Negara.
iv)Memantapkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara institusi pondok/pesantren di seluruh Nusantara.
Semoga wacana ini menjadi cetusan pelengkap kepada pelbagai usaha dari pelbagai pihak untuk melahirkan kembali generasi yang mampu melanjutkan keindahan dan kesyumulan Islam di bumi Nusantara tercinta ini.