Ukraine Puji Usaha Arab Saudi Adakan Forum Selesai Peperangan
ARAB SAUDI, 07 Ogos 2023 – Saudi Press Agency (SPA) pada Ahad lalu telah melaporkan bahawa forum perbincangan yang dianjurkan bagi mencapai resolusi keamanan bagi peperangan di Ukraine telah berjaya disimpulkan dengan persetujuan para peserta dalam meneruskan perbincangan demi mencapai keamanan.
Forum perbincangan tersebut telah disertai oleh para pegawai tinggi dari lebih 40 buah negara termasuklah Amerika Syarikat (AS), China dan India.
Perbincangan yang dijalankan di Jeddah pada Sabtu lalu adalah bersempena dengan National Security Advisor’s Meeting, di mana para peserta giat membincangkan formula keamanan bagi Ukraine.
BACA JUGA: Lebih 5 Tahun, Projek RM7 Juta Gagal Selesai Masalah Muara Cetek
BACA JUGA: Pihak Berkuasa Agama Jadi Pencelah Dalam Kes Nik Elin-Menteri
BACA JUGA: Cuaca Panas : Sungai Tembeling Mula Cetek
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh SPA, para peserta perbincangan tersebut telah bersepakat dalam meneruskan rundingan antarabangsa serta menukar pandangan dalam membantu membina dasar yang sama bagi membuka jalan untuk laluan keamanan.
Laporan yang sama juga menyatakan bahawa para peserta turut mengetengahkan kepentingan mengambil manfaat daripada pendapat dan cadangan yang positif yang telah dibincangkan menerusi pertemuan tersebut.
Rusia tidak menghantar wakil dalam menghadiri pertemuan tersebut namun Kremlin telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka akan memerhatikan prosiding perbincangan tersebut secara teliti.
Perbincangan di Jeddah itu berlangsung dalam keadaan di mana Ukraine kini berusaha untuk mendapatkan sokongan luar daripada Barat dengan mengadakan perhubungan bersama negara-negara Global South yang bersifat berhati-hati untuk menyebelahi mana-mana pihak.