UEC: Sekolah Persendirian Guna Dana Awam, Adakah Menteri Langkau Kuasa? – Abdul Rahim Sinwan (PPMM)
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 03 Ogos 2021 – Perlembagaan Persekutuan mengikut Perkara 152(1) menekankan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara sedangkan Sijil Unified Examination Certificate (UEC) tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan mereka. Ini jelas menunjukkan UEC bertentangan (Perkara 152(1) kata Naib Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Tuan Haji Abdul Rahim Sinwan.
“Cadangan untuk mengiktiraf Sijil UEC juga Sistem Pendidikan China bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara seperti diasaskan oleh Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib.”
Menurutnya, persoalan berhubung perkara yang diambil tindakan di mahkamah sekarang adakah Menteri Pendidikan melangkau kuasa membenarkan sekolah persendirian beroperasi menggunakan dana awam.
“Penubuhan sekolah-sekolah persendirian Cina berbeza dengan sekolah private lain dan sekolah agama. Ini kerana sekolah-sekolah agama kerajaan dibenarkan menggunakan dana awam menurut peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 11(3) dan Perkara 12 (2),” kata Tuan Haji Abdul Rahim Sinwan.
Tambahnya, sekolah-sekolah agama di bawah negeri menggunakan dana negeri masing-masing mengikut Undang-undang Tubuh Negeri masing-masing dan juga saluran dana dari kerajaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Razak Report 1956 dan Rahman Talib Report 1960 menentang penubuhan Sekolah Cina di luar sistem Pendidikan Negara kerana kemungkinan ada asas anasir pemikiran seperti pemikiran Fahaman Komunis yang berleluasa pada ketika itu.
“Contohnya seperti larangan penubuhan Merdeka University dan Sejarah Penularan Fikiran Komunis di Universiti Nanyang di Singapura.”
Ujarnya lagi, kewujudan sistem pendidikan melalui sekolah vernakular ini dilihat lebih kepada menghancurkan persefahaman antara kaum.Bagi mengatasi perkara ini, kerajaan kemudiannya memperkenalkan Sekolah Wawasan pada tahun 1995.
“Ia bagi memastikan usaha integrasi tidak terbantut dan perpaduan antara kaum semakin merenggang,” kata beliau.
Walau bagaimanapun, Sekolah Wawasan yang diagendakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu juga ditentang oleh Dong Zong yang memperlihatkan betapa mereka tidak dapat menerima perpaduan antara kaum yang cuba diwujudkan di dalam penubuhan Sekolah Wawasan.
“(Mereka menggunakan alasan) Sekolah Wawasan nanti akan menghilangkan bahasa ibunda mereka selain takut terkuburnya imej dan kuasa-kuasa pentadbiran dari pihak SRJK(C).”
“Walaupun kerajaan pada masa itu telah beberapa kali memberi jaminan yang Sekolah Wawasan tidak akan menghapuskan identiti SRJK (C) dan SRJK (T).”
Kementerian Pendidikan kemudiannya telah berusaha mengatur pertemuan dengan Dong Jiao Zong pada 22 September 2000 untuk membincangkan tentang garis panduan Sekolah Wawasan tetapi ianya tetap berakhir dengan kegagalan.
“Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) tetap menentang pembentukan sekolah ini. Malah, Dong Jiao Zong berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan membantah sehabis-habisnya sekiranya matlamat akhir Sekolah Wawasan menjadikan Laporan Razak sebagai asas penubuhannya.”
Hal ini membuatkan Tun Dr Mahathir pada ketika itu membidas Dong Jiao Zong dengan berkata pertubuhan itu sebagai puak ekstremis pendidikan Cina yang menentang penyatupaduan rakyat berbilang kaum di negara ni.
“Mereka mahu semuanya dipisahkan. Sekolah Cina dipisahkan dari sekolah lain menjadikan sekolah Cina seolah-olah sekolah asing dan bukan sekolah di Malaysia,” kata Tun Dr Mahathir.