Tutup Sekolah Islam: Boleh Saman Jika Wujud Diskriminasi Dan Penindasan – Buzze Azam
KUALA LUMPUR, 20 Jun 2023 – “Boleh saman! Jika perkara seperti yang didakwa pengusaha sekolah dalam laporan yang dikeluarkan itu benar dan mereka telah ditindas maka pihak pengusaha-pengusaha sekolah berkenaan mempunyai hak membawa perkara ini untuk semakan kehakiman dan membawa kes ke mahkamah untuk saman pihak-pihak yang terbabit,” ujar peguam, Mohd Khairul Azam bin Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Buzze Azam.
Beliau berkata demikian jika seandainya benar aduan yang diberikan oleh pengusaha-pengusaha mengenai syarat ketat untuk kelulusan premis Sekolah Islam Persendirian di Selangor itu dibuat dengan tujuan untuk mendiskriminasi dan menindas. Ia sehingga menimbulkan kekhuatiran nasib bagi 80 buah sekolah sekali gus menjejaskan masa depan pendidikan kepada 20 ribu murid-murid yang didakwa bakal terjejas dan berkemungkinan hilang tempat belajar. Perkara ini disebabkan pihak PBT mengetatkan syarat untuk kelulusan premis Sekolah Islam Persendirian di Selangor itu.
Terdahulu, media melaporkan berkaitan nasib Sekolah-Sekolah Persendirian Islam yang bakal terjejas operasinya akibat pekeliling terkini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Ditanya sama ada bolehkah garis panduan oleh Bahagian Perancang Bandar PBT dianggap menyukarkan kelulusan penggunaan rumah kedai sebagai tempat pembelajaran termasuk menyukarkan proses kelulusan penggunaan bangunan, sehingga ada sekolah yang diarah ditutup dan disaman oleh pihak PBT, menurut Buzze Azam sememangnya, Bahagian Perancang Bandar PBT kebiasaannya akan memberikan beberapa syarat-syarat dan garis panduan di mana-mana premis yang perlu dipatuhi oleh mana-mana pihak untuk kelulusan.
Selalunya, tujuan garis panduan ini kebiasaannya melibatkan aspek keselamatan contohnya untuk memastikan dari segi kalau berlaku kebakaran dan sebagainya sama ada struktur bangunan itu selamat untuk diduduki oleh mana-mana pihak yang ingin menjalankan perniagaan di kawasan PBT berkenaan.
Bagaimanapun, saya tidak pasti “menyukarkan” proses kelulusan itu dalam konteks apa tetapi sememangnya jika dari segi keselamatan misalnya dari segi kebakaran memang perlu perakuan dari pihak autoriti lain seperti pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat untuk membuat pemeriksaan sebelum mengeluarkan sijil perakuan dan dengan sijil perakuan itu baru akan diendorse oleh pihak PBT.
“Saya tidak pasti “menyukarkan” ini dibuat secara prosedur ataupun “menyukarkan” itu adalah dibuat dengan cara untuk melengah-lengahkan permohonan itu daripada diluluskan,” katanya.
Perkara ini, hanya pihak pengusaha dan PBT sahaja yang tahu sejauh mana kebenarannya setakat ini dan perlu disiasat secara terperinci oleh pihak yang bertanggungjawab.
Menurut aduan, ada di antara sekolah yang berkenaan ini dikatakan telah pun beroperasi di antara lima hingga lebih dua puluh tahun. Persoalannya mengapa sebelum ini mudah mendapat kelulusan sebaliknya sekarang tidak?
Buzze Azam berkata, untuk sekolah yang dikatakan telah beroperasi lebih 5 hingga 20 tahun itu kita tidak pasti sama ada mereka ada membuat pengubahsuaian ketika masih belum mendapat kelulusan ataupun tidak.
“Apa yang pasti, kalau telah beroperasi sekian lama pun kalau tanpa memiliki sijil-sijil atau kebenaran daripada pihak berkuasa memang bangunan itu berisiko jika terjadi sebarang kejadian ataupun kemalangan yang tidak diingini, kemungkinan insuran tidak akan cover apa-apa di bangunan berkenaan dan ini sudah pasti merisikokan juga penghuni bangunan berkenaan,” ujarnya.
Justeru, kalau atas dasar keselamatan dan bahaya kepada penghuninya maka pengusaha perlu akur dengan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa berkenaan tetapi kalau ia sengaja didiskriminasi dan terdapat unsur penindasan maka pengusaha boleh saman pihak berkaitan,” katanya.