Turki Ugut Akan Langgar Israel
ANKARA, 30 JULAI 2024 – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah mengeluarkan amaran bahawa Turki bakal “melanggar” Israel berikutan konflik yang masih berlaku di Gaza di antara entiti haram Israel dan Hamas.
Amaran tersebut telah dikeluarkan pada Ahad lalu sewaktu presiden itu sedang berucap dalam sebuah himpunan parti beliau.
Ujarnya, “Kita kena menjadi sangat kuat supaya Israel tidak dapat menyerang Palestin”.
“Sebagaimana kita telah memasuki Karabakh dan sebagaimana kita telah memasuki Libya, mungkin kita akan melakukan perkara yang sama. Tiada apa yang kita tidak dapat lakukan. Kita mesti kuat”.
Ucapan tersebut merujuk kepada penglibatan Turki sewaktu berlakunya perang saudara Libya berserta kejadian yang baru berlaku di rantau Azerbaijan, Karabakh.
Kenyataan tegas Erdogan tersebut dikeluarkan dalam keadaan di mana ketegangan di antara Hizbullah dan Israel sedang memuncak dan situasi kini sedang menuju ke arah peperangan yang besar.
Erdogan sememangnya telah dikenali sebagai seorang pemimpin yang sering bersikap tegas dan banyak mengeluarkan kenyataan bersifat amaran terhadap Israel, walau setakat ini masih belum terdapat tindakan ketenteraan yang dijalankan terhadap entiti haram terbabit.