Tular Surat Penerima Zakat Mohon Henti Sumbangan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MERSING, 28 September 2022 – Tular sepucuk surat daripada salah seorang penerima zakat bulanan daerah itu memohon untuk menghentikan sumbangan zakat buat dirinya.
Menerusi surat yang dikirim, penerima zakat itu memohon diberhentikan bantuan kerana dirinya sekarang telah bekerja dan mempunyai pendapatan sebanyak RM2,400 sebulan.
“Saya ingin memaklumkan supaya bantuan ke atas saya diberhentikan kerana saya sekarang telah bekerja dan berpendapatan sebanyak RM2,400 sebulan,” katanya.
Dalam surat yang sama, penerima zakat tersebut berterima kasih kepada pihak baitulmal Jabatan Agama Islam Mersing kerana membantunya semasa beliau sedang sakit.
Menerusi perkongsian Majlis Agama Islam Johor, tindakan jujur penerima zakat tersebut mendapat pujian ramai dan ramai mendoakan kebaikan buatnya.
Tidak kurang juga, ramai yang berkongsi kisah mereka sebagai bekas penerima zakat.
“Kami juga pernah berbuat demikian. Bermula dengan niat untuk menjadi penyumbang zakat daripada menjadi penerima zakat, alhamdulillah Allah permudahkan semuanya,” kata Norazela Mahat II di ruangan komen.