Tuhan Selamatkan DAP – Ronnie Liu
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 28 September 2022 – “Tuhan selamatkan DAP,” kata Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Democratic Action Party (DAP) melalui satu hantaran di Facebook baru-baru ini.
Ronnie meluahkan kekesalannya dengan tindakan parti itu meminda perlembagaannya, di mana wakil rakyat yang tidak patuh pada perintah kepimpinan dalam perkara-perkara utama akan dipecat dan secara automatik hilang keahlian.
Selain itu, Ronnie menyifatkan langkah tersebut sebagai langkah yang tidak demokratik, sambil menambah hanya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sahaja yang dapat menyelamatkan parti berkenaan daripada menjadi entiti yang tidak demokratik.
“Patuhi perintah kepimpinan atau keluar. Itulah realiti politik,” tegasnya.
Menjadikan diri sendiri sebagai contoh, Ronnie berkata, sekiranya pindaan berkenaan dilaksanakan sebelum ini, pasti beliau sudah disingkirkan daripada parti tersebut memandangkan beliau lantang menyuarakan pelbagai isu seperti kritikan terhadap Dr Mahathir Mohamad, Lynas dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Saya boleh ‘mati’ berkali-kali,” ujarnya.
“Dengan pindaan itu, seseorang itu berhenti menjadi ahli apabila tidak patuh pada arahan CEC. Dan CEC berhak mengeluarkan sebarang arahan yang menyasarkan mana-mana wakil rakyat atau kesemua wakil rakyat.”
ADUN Sungai Pelek itu turut mendakwa sekiranya arahan tersebut datang daripada setiausaha agong, ia tidak semestinya datang secara bertulis.
Kelmarin, DAP meluluskan pindaan perlembagaan parti tersebut bagi membolehkan mana-mana wakil rakyat yang tidak menurut perintah parti dalam perkara-perkara utama dipecat, dengan sokongan majoriti perwakilan pada kongres khas.