Tuduhan Ke Atas PEMBELA Harus Ditarik Balik – Presiden PENGHANTAR
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 13 Jun 2021 – Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor tuduhan kes penipuan kutipan derma solidariti untuk lima orang rider yang dilemparkan terhadap PEMBELA ditarik semula.
Menurutnya, PENGHANTAR segera menghubungi PEMBELA bagi mendapatkan nasihat dan pertolongan khidmat guaman selepas mengetahui lima orang penghantar makanan akan diperintahkan ke mahkamah bagi mendapat tahanan reman.
“Selepas mengetahui lima orang penghantar makanan akan diperintahkan ke mahkamah bagi mendapat tahanan reman, terus kami mendapatkan nasihat dan menghubungi Pengerusi NGO PEMBELA, Haji Aminudin Yahaya khusus untuk mendapatkan pertolongan khidmat peguam bagi tujuan ini. Ketika dihubungi, PEMBELA juga sedia membantu mereka semua ini tidak terhad kepada pembelaan mereka sahaja malah lebih daripada itu.”
Ujar Zulhelmi, berdasarkan prosedur biasa, penghantar makanan yang ditahan reman perlu membayar wang ikat jamin.
Namun, salah seorang dari yang direman memaklumkan kepada peguam bahawa jika dituduh mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menyediakan wang jaminan.
Atas sebab inilah PEMBELA mengambil inisiatif melancarkan derma solidariti untuk lima orang penghantar makanan tersebut.
“Secara asasnya, mengikut nasihat peguam, sekiranya ada pendakwaan dibuat berkemungkinan mereka akan dituduh selepas reman yang dijangka pada hari Isnin atau Selasa dan mereka perlu membayar wang ikat jamin.”
“Awal-awal lagi, mereka ini memberitahu bahawa kalau perlu ikat jamin, mereka sememangnya tidak mampu. Sebab itu, PEMBELA sudi untuk membantu mereka ini. Kalau kita dah tahu keputusan mahkamah, ataupun tahu apa akan berlaku hari ini, semestinya kita pun tak akan buat hebahan kutipan tabung kilat ini.”
Namun, PENGHANTAR amat terkejut dengan satu laporan polis yang telah dibuat oleh seorang pegawai polis yang menyatakan telah berlaku kes tipu kutipan derma bagi ikat jamin lima tahanan penghantar makanan yang ditahan untuk disoal siasat.
“Di sini ingin saya tegaskan bahawa PEMBELA tidak sama sekali mempunyai sebarang niat untuk membuat penipuan berkaitan kutipan derma kilat ini yang tidak lain hanya bertujuan membantu mereka ditahan, tidak bersalah dan terkesan dengan kehidupan akibat penangkapan ini.”
“PEMBELA bukannya ada kepentingan diri dan niat mereka cuma sekadar membantu sahaja. Malah, dana sumbangan yang terkumpul ini akan diserahkan kepada rider dan pihak persatuan secepat mungkin apabila saja mereka dibebaskan. Perkara ini juga dimaklumkan mereka kepada kita sebaik sahaja kita memberitahu mereka situasi daripada semasa ke semasa,” tambahnya lagi.
Justeru, Zulhelmi berharap agar tuduhan yang dilemparkan terhadap PEMBELA dapat ditarik semula.
“Akhir kata, saya amat berharap agar tuduhan yang dilemparkan kepada PEMBELA ini dapat ditarik semula. Sememangnya tujuan murni PEMBELA melalui kutipan dana sumbangan ini hanya demi kebajikan penghantar yang terlibat.”
Untuk makluman, kesemua lima orang penghantar makanan ini telah dibebaskan pihak polis pada pukul 4.00 petang hari ini dengan jaminan polis.
“Terima kasih pihak PDRM yang telah menyiasat kes ini dengan baik sekali. Kebenaran akhirnya bersama mereka yang tidak bersalah. Terima kasih kepada pasukan peguam diketuai, Datuk Zainul Rijal yang disediakan oleh NGO PEMBELA yang sudi menolong dan membantu kami,” ujar Zulhelmi mengakhiri kenyataan.