Tragedi Banjir Baling: Wanita Hamil Dan Pesakit Strok Masih Hilang
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BALING, 05 Julai 2022 – Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat memaklumkan operasi mencari tiga anak beranak yang hilang susulan banjir di Baling diteruskan pagi ini.
Mangsa – Salmah Mat Akib, 53 tahun, anaknya Mohd Khairul Ikhwan, 14 tahun, dan menantunya Nurul Hanis Abu Hassan, 23 tahun – difahamkan berada di dalam sebuah rumah sebelum dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air dan banjir yang melanda Kampung Iboi, Baling, petang semalam.
Menurut Malaysiakini, salah seorang yang hilang, Nurul Hanis Abu Hassan sedang hamil empat bulan manakala Salmah Mat Akib pula menderita sakit strok.
“Setakat ini, kita masih menggerakkan usaha SAR, di mana kita telah menerima satu laporan polis yang dibuat satu ahli keluarga melibatkan kehilangan tiga ahli keluarganya yang kita kategorikan sebagai orang hilang, iaitu melibatkan dua perempuan Melayu dan satu kanak-kanak Melayu berusia 14 tahun,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Suami kepada Salmah Mat Akib, Abd Rahman Said berkata, menantunya, Nuru Hanis sempat menelefon memberitahu keadaan air yang semakin naik di kawasan rumah terbabit.
“Ketika kejadian saya tidak berada di rumah dan bila menantu telefon saya beritahu dia saya dalam perjalanan balik.”
“Tapi dalam perjalanan balik itu banyak halangan di jalan raya. Jadi saya lambat sampai ke rumah.”
“Apabila sampai saya lihat jambatan dah tak ada sebab dihanyut arus, saya terus parkir kereta dan berlari ke rumah tapi saya tengok rumah saya pun sudah tidak ada,”
Hujan lebat tanpa henti selama 3 jam semalam di daerah Baling menyebabkan dua buah kampung iaitu Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang, Baling ditenggelami banjir.
Setakat ini hanya tiga mangsa dilaporkan hilang selepas satu laporan dibuat pada petang Isnin selain dua mangsa disahkan mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Baling.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mahu kawasan yang kritikal di beberapa kampung yang terjejas banjir di Baling diisytiharkan sebagai kawasan Darurat Bencana Tahap I atau II selari dengan situasi dan bidang kuasa yang ada.
Pengisytiharan itu amat penting bagi mempercepatkan operasi bantuan daripada agensi negeri dan Persekutuan (belanja kecemasan) berdasarkan bajet sedia ada di agensi masing-masing, ujarnya.