Tiba Masanya Teks Perlembagaan Guna BM, BI Tidak Serasi Dengan Budaya Malaysia – Lukman Sheriff
KUALA LUMPUR, 16 Februari 2023 –“Sudah tiba masanya teks Perlembagaan menggunakan Bahasa Melayu (BM) kerana Bahasa Inggeris (BI) membawa budaya yang tidak serasi dengan budaya kita di Malaysia,” ujar peguam, Lukman Sheriff Alias.
“Kalau kita sudah bahaskan undang-undang kita berdekad-dekad dalam Bahasa Melayu kenapa pula hakim perlu menggunakan maksud Bahasa Inggeris?” soalnya.
Lukman Sheriff berkata, beliau sudah baca sebahagian yang cuba ketengahkan hujah kononnya Perlembagaan dalam BM tidak dapat menerangkan atau membawa maksud kosa BI dan saya tidak faham kenapa sehingga kini ia boleh dipolemikkan sedemikian.
Menurutnya, mereka ini jelas tidak mahu mengambil kira proses penggubalan undang-undang kita dan menimbulkan ketakutan yang tidak sepatutnya.
Sudah Berdekad-Dekad Perbahasan Di Parlimen Guna Bahasa Melayu
Beliau berkata, satu perkara yang semua kena faham, kita sudah berdekad-dekad menggunakan BM di Parlimen. Undang-undang kita bukan sahaja digubal dalam Bahasa Melayu dengan izin menggunakan BI. Dan perkara yang sama juga berlaku pada semua pindaan Perlembagaan kita.
Jelasnya, berdekad-dekad perbahasan dalam BM berlaku. Bukan semalam ataupun setahun sahaja ini berlaku tetapi sudah lama. Maksudnya, apabila terma atau peruntukan undang-undang dibahaskan, peruntukan dan kosa kata dalam Bahasa Melayu lah yang digunakan. Ini lumrah. Mungkin ada yang menggunakan terma Inggeris tetapi ia tetap dibahaskan dalam Bahasa Melayu.
Kedua, kita kena ambil maklum setiap bahasa berkembang berbeza-beza. Ini ketara sangat apabila bahasa mengikut sosial budaya negara pengguna utama yang mungkin bertentangan dengan sosial budaya negara lain. Biar saya beri contoh apa terjadi dengan Perlembagaan kita.
Menurut Lukman Sheriff lagi, ramai tidak sedar bahawa pada tahun 2001 kita buat pindaan Perlembagaan yang tidak cermat. Pada tahun tersebut Artikel 8 berkenaan kesamarataan dipinda. Artikel 8 (2) telah dipinda dengan menyatakan dengan jelas bahawa diskriminasi jantina dalam undang-undang dan perlantikan penjawat awam adalah menyalahi dan tidak dibenarkan.
“Kalau kita baca pindaan dalam Bahasa Melayu yang mana ramai YB-YB lain menggunakannya, sudah tentu ini tidak menjadi masalah. Malah pindaan ini perlu disokong sebulat suara,” katanya.
Tambah beliau, yang jadi masalahnya, pindaan dalam BI yang dibuat tidak membawa maksud yang sama. Dalam BI, pindaan menyatakan bahawa “there shall be no discrimination on the ground of gender”. Mungkin pada masa itu ramai mentafsirkan “gender” membawa maksud “jantina” dan dengan itu tiada masalah.
Tetapi, sekarang pada zaman ini “gender” dalam BI telah berkembang membawa maksud yang berbeza dari jantina. Dalam kamus-kamus termasyhur terkini, “gender” adalah “a state of mind” atau pemikiran bahawa seseorang itu wanita atau lelaki.
“Ia tidak lagi mengikut kehendak fitrah atau biologi. Kalau seorang lelaki berfikiran atau berasa dia adalah wanita maka “gender”nya adalah wanita dan bukan lelaki. Itu maksud “gender” pada masa ini di barat akibat budaya “woke” dan “liberal” yang diamalkan mereka,” ujarnya.
Implikasi Pindaan Ini Amat Besar
Jelas beliau, implikasi pindaan ini amat besar. Misalnya, kalau undang-undang kini hanya benarkan lelaki dan perempuan mengikut fitrah berkahwin, maka undang-undang ini boleh pada satu hari dicabar dan dihujahkan sebagai diskriminasi kerana tidak memperakui hak gender-gender lain.
Malah, inilah yang berlaku di barat pada waktu ini. Satu perubahan yang besar untuk mengiktiraf gender-gender lain dan menyamaratakan undang-undang. Perkahwinan tidak lagi ikut jantina biologikal atau fitrah.
“Saya tiada hansard pada masa ini untuk menentukan perdebatan pada waktu itu, tetapi kalaulah dihujahkan di Parlimen berdasarkan pemakaian makna jantina, kenapa pula kita nak pakai konsep Bahasa Inggeris “gender”,” soalnya lagi.
Mungkin juga, ramai MP tidak berhujah kerana mereka tiada masalah dengan maksud jantina. Walau apapun, saya yakin ramai MP akan bantah jika membawa maksud gender pada masa ini.
Justeru, yang kita kena ambil maklum adalah penentuan ini akan dibuat oleh mahkamah. Kalau Bahasa Inggeris adalah teks sahih, maka hakim terpaksa menggunakan gender. Kalau hakim itu berpendidikan barat dan berfahaman liberal, konsep gender barat bakal terus dipakai.
Setakat ini, alhamdulillah peruntukan ini belum dicabar tetapi melihat kes-kes yang mencabar peruntukan Syariah kebelakangan ini, lambat laun ini akan berlaku. Perundangan Syariah tidak mengiktiraf langsung konsep gender barat dalam perundangannya dan ini bakal dicabar kelak.
Ini belum masuk Basic Doctrine Structure (BSD). Sudah ada bibit-bibit kes mahkamah yang mana penghakiman mengatakan “perlindungan golongan minoriti” adalah sebahagian BSD.
Mahkamah Tidak Boleh Didiskriminasi
“Kalau mahkamah mengambil pendirian golongan gender selain fitrah adalah golongan minoriti, pengsan kita.”
“Mahkamah akan tetapkan mereka ini tidak boleh didiskriminasi dan ini akan jadi asas Perlembagaan. Kalau ini ditetapkan sebagai BSD, Parlimen tidak boleh mengubahnya,” tegas beliau. Mahkamah akan tetapkan mereka ini tidak boleh didiskriminasi
Sebab itu, saya katakan sudah tiba masanya teks Perlembagaan menggunakan BM kerana jelas bahawa BI membawa budaya yang tidak serasi dengan budaya kita. Kalau kita sudah bahaskan undang-undang kita berdekad-dekad dalam BM kenapa pula hakim perlu lagi menggunakan maksud BI.
Takkan, rakyat dan Parlimen berpegang kepada satu nilai tetapi hakim membawa nilai lain. Pertembungan besar bakal berlaku. Dah tak betul ni. Dan oleh kerana pindaan Perlembagaan tidak cermat berlaku pada Artikel 8, tidak kira apapun yang dibahaskan, kita tiada pilihan kecuali menggunakan teks Bahasa Melayu Perlembagaan sebelum kes baru wujud dan menunggang terbalikkan budaya asas kita. Penggunaan Bahasa Melayu sepatutnya menjadi terdesak, katanya.