‘Terowong Bawah Tanah’ Dakwaan Zionis Ternyata Pintu Masuk Takungan Air
GAZA, 11 November 2023 – Dakwaan Zionis mengenai kewujudan rangkaian terowong bawah tanah Hamas di bawah Hospital Qatari di Gaza sebenarnya merupakan akses untuk memasuki pusat takungan air hospital.
Menurut laporan, dakwaan itu disangkal oleh agensi siasatan digital Al Jazeera, Sanad yang mendedahkan bahawa pintu itu digunakan bagi mengisi kolam terapeutik untuk merawat pesakit yang dipotong anggota badan, mencuci kawasan sekitar dan sebagai tempat menyimpan bekalan air jika berlaku kecemasan.
Selain itu, Sanad juga telah menganalisis rakaman satelit dan arkib pembinaan hospital bahkan turut bercakap dengan seorang jurutera pembinaan hospital tersebut.
Sebelum ini, tentera Zionis sering mendakwa terdapat kubu dan terowong bawah tanah di kebanyakan hospital di Gaza bagi membolehkan mereka menyerang fasiliti itu tanpa ‘rasa bersalah’ dan mengelak kecaman dunia.
Mereka turut menuduh pengurusan hospital berkomplot dengan pejuang Hamas menjadikan pusat kesihatan sebagai tempat membekalkan senjata, persembunyian dan bergerak ke tempat lain.
Lantas itu, Zionis mengatakan adalah ‘wajar’ mereka mengebom semua hospital di Gaza meskipun tindakan itu merupakan larangan undang-undang antarabangsa.