TERKINI: Klang Banjir, Air Sungai Klang Semakin Tinggi
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KLANG, 28 September 2022 – Penduduk di Kampung Delek Kiri, Klang serta beberapa kampung yang berhampiran dengan Sungai Sireh dikejutkan dengan bencana banjir kira-kira lima pagi tadi.
Setakat pagi tadi, ketinggian air berada di paras lutut dan semakin meningkat naik malahan paras air di Sungai Klang yang semakin meninggi turut menambah kebimbangan penduduk, menurut sebuah perkongsian dari rakaman video di aplikasi TikTok.
Berikutan kejadian itu, penduduk yang berada di kawasan rendah mula menyelamatkan barang kelengkapan mereka manakala kenderaan penduduk yang tinggal di Jalan Jepun, Kampung Delek Kiri terpaksa diletakkan di tepi jalan.
Susulan itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di daerah berkenaan bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir susulan daripada fenomena air pasang besar itu.
“Bagi mangsa banjir Kampung Sungai Sireh Tambahan, mereka akan ke Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sireh,” kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang.
“Mereka yang terbabit boleh hubungi wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau terus ke PPS berkenaan,” menurut Facebook rasmi Pejabat Daerah Tanah Klang (PTD), hari ini.