Tempatan

Terima Rungutan Penyokong Harimau Malaya, FAM Diskaun Tiket

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BUKIT JALIL, 14 Disember 2022 – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya memberi ‘diskaun’ tiket perlawanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 selepas mendapat rungutan daripada penyokong Harimau Malaya.

Menurut sebuah portal tempatan, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, pihaknya memutuskan untuk menurunkan harga tiket bagi perlawanan peringkat kumpulan menentang Laos dan Singapura.

“Tempat duduk terbuka diturunkan kepada RM45 manakala premium diturunkan kepada RM60 dan grandstand diturunkan kepada RM70. Bagaimanapun, harga tiket kanak-kanak kekal pada harga RM10.”

Sementara itu, bagi penyokong yang sudah membeli tiket pada harga asal, proses pemulangan wang (refund) akan diuruskan oleh pihak Ticket Hotline, ujarnya.

Noor Azman turut mengharapkan penurunan harga ini dapat meringankan beban para penyokong untuk ke stadium bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.

Menurutnya, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga sentiasa prihatin akan keperluan penyokong dan sangat menghargai sokongan yang diberikan terhadap skuad bola sepak negara.

Sebelum ini, harga tiket perlawanan Piala AFF 2022 bagi tempat duduk grandstand adalah RM100, tempat duduk premium dijual pada harga RM70, tempat duduk terbuka pula adalah RM50 dan tiket bagi kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun dijual dengan harga RM10.

Mengulas lanjut, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember sebelum berdepan dengan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil 24 Disember ini. Perlawanan menentang Vietnam di Hanoi pula dijadualkan pada 27 Disember dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari depan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: