Teks Perlembagaan BM: Bukan Islam Bimbang – P. Ramasamy
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 15 Januari 2023 – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor Dr P. Ramasamy mendakwa, wujudnya kebimbangan yang dinyatakan terutamanya oleh orang bukan Islam sekiranya teks sahih Perlembagaan dalam Bahasa Melayu menjadi teks berotoriti.
Kesannya, kata pemimpin itu lagi, ia akan merumitkan urusan penjagaan anak kepada pasangan yang berpisah atau bercerai yang membawa kepada penukaran agama anak tersebut kepada salah seorang, sama ada ibu atau bapa tersebut.
BACA JUGA: TPM Umum Sabah, Sarawak Bukan Lagi ‘Negeri’
BACA JUGA: Laporan Polis, Salah Guna Kuasa Terhadap Tommy Thomas
BACA JUGA: Dari Bini Sekolah Rendah Sampai Nak Beranak, Jalan Teluk Cempedak Tak Elok-Elok
Ini kerana, menurut beliau, dalam versi Bahasa Inggeris, perkataan ‘parent’ merujuk kepada kedua-dua ibu bapa, ibu dan bapa, dengan makna jamak, manakala dalam versi BM, ianya membawa makna bahawa sama ada ibu atau bapa, ujarnya.
Oleh itu, perkara ini turut menimbulkan kebimbangan di kalangan kumpulan hak asasi manusia, antaranya berkaitan perbezaan asas dalam makna ibu bapa dalam versi BI berbanding dengan “ibu dan bapa” dalam versi BM.
P. Ramasamy menambah, cadangan untuk menjadikan Perlembagaan versi Bahasa Malaysia (BM) sebagai teks berwibawa perlu dibincang dan dipertimbangkan dengan teliti kerana akan menimbulkan masalah berkaitan tafsiran teks, makna perkataan, tunggal atau jamak dan terjemahan.
“Dalam erti kata lain, tumpuan tunggal kepada BM sebagai teks berwibawa mungkin membawa kepada keadaan di mana sumber asal mungkin dilupakan dengan mengorbankan nasionalisme yang bersikap fikiran sempit.”
Selain itu, P. Ramasamy juga meluahkan kebimbangan sekiranya versi BI dihapuskan sebagai teks asal Perlembagaan, maka pergantungan kepada versi BM akan membuka pintu untuk pertikaian undang-undang yang tidak terkira banyaknya yang mencabar keputusan terdahulu berdasarkan versi BI Perlembagaan.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana teks BM boleh menjadi yang berwibawa sedangkan ia telah diterjemahkan daripada versi BI dan apakah teks Perlembagaan BI akan dibuang sebagai versi atau sumber yang tidak berwibawa?
Justeru, P. Ramasamy menyarankan supaya teks Perlembagaan Persekutuan BI harus kekal sebagai panduan kepada prinsip perundangan dan perlembagaan demi kepentingan utama keadilan, kesaksamaan dan demokrasi.
Baru-baru ini, Pejabat Peguam Negara menerusi kenyataan Peguam Negara, Idrus Harun memaklumkan akan mencadangkan kepada Kerajaan versi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai teks berotoriti.
Samudera.my sebelumnya pernah melaporkan kenyataan Kursi Teraju Perdana NAJM Dato’ Julita Ilhani Binti Dato’ Sri Abd Jabbar yang menjelaskan bahawa teks sahih Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Bahasa Melayu telah dilancarkan pada 2003 lagi tetapi belum digunakan sepenuhnya setakat ini.
“Jadi sekarang ini ianya bukan isu menterjemah tapi isu pelaksanaan.”