Tapak SK Tukar Jadi SJKC, BERTINDAK Ucap Terima Kasih Kepada KPM
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
PUCHONG, 02 November 2021 – “BERTINDAK mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana mengarahkan kerja-kerja pembinaan SJKC Too Joon Hing dihentikan serta-merta.”
“Malam tadi (1 November 2021), kita lihat kontraktor sudah mula membuka pagar-pagar yang dipasang sekeliling tapak projek secara berperingkat, dan kita akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” ujar Pengerusi Badan Bertindak Bandar Kinrara (BERTINDAK), Haji Mohamad Haron Bin Haji Mohamad Sidik.
Susulan dari pengumuman KPM yang mengarahkan pembinaan SJKC ini dihentikan serta-merta, BERTINDAK bersama-sama semua NGO akan mengadakan satu mesyuarat khas untuk membuat permohonan pembinaan Sekolah Kebangsaan baharu di tapak itu.
Menurutnya, BERTINDAK berharap KPM dapat meluluskan pembinaan sekolah kebangsaan baharu ini kerana sekolah-sekolah kebangsaan yang sedia ada sudah terlalu penuh ditambah dengan kepadatan penduduk.
Selain itu, BERTINDAK masih mahu SPRM terus menyiasat siapa yang memberikan kelulusan pembinaan sehingga SJKC itu dapat kelulusan sekelip mata.
“Jika sekolah Cina lebih banyak dari sekolah kebangsaan, apa akan jadi dengan penduduk yang sayangkan perpaduan kaum dan menyanjung tinggi slogan keluarga Malaysia ini?”
BERTINDAK berharap, sudah tiba masanya kerajaan memansuhkan sekolah-sekolah vernakular ini.
“Sampai bila isu ini hendak diselesaikan jika kerajaan tiada pendirian dan ketegasan dalam membina perpaduan negara?”
“Sekolah kebangsaan adalah sekolah perpaduan, sekolah keluarga Malaysia, sekolah untuk semua kaum,” kata Haji Mohamad Haron.