Tafsir Perlembagaan Guna Basic Structure Doktrine Import Satu Amalan ‘Bidaah Dholallah’ – Aidil Khalid
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 14 September 2022 – BIDAAH DHOLALAH | Pada 17 Mac 1988, Tun M ada membentangkan di Parlimen satu usul penting untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ucapannya seperti yang direkodkan dalam hansard Parlimen adalah seperti berikut:-
“Tuan Yang di-Pertua, satu perkara yang sering menjadi sungutan dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat Islam di negara ini ialah keadaan di mana mahkamah-mahkamah sivil dapat mengubah atau membatalkan suatu keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Syariah. Misalnya, pernah berlaku keadaan di mana seseorang yang tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Syariah tentang penjagaan kanak-kanak telah membawa guaman itu ke Mahkamah Tinggi pula dan berjaya mendapat keputusan yang berlainan. Kerajaan berpendapat bahawa keadaan seperti itu menjejaskan kewibawaan Mahkamah Syariah dan pelaksanaan dan pentadbiran Hukum Syara’ di kalangan umat Islam di negara ini. Adalah sangat penting menjamin kewibawaan Mahkamah Syariah oleh kerana sudah sewajarnya Mahkamah Syariah diberi kuasa penuh untuk menentu dan memutuskan perkara-perkara yang termasuk dalam bidang kuasanya, apatah lagi kerana perkara-perkara itu melibatkan Hukum Syara’.”
“Oleh yang demikian, adalah dicadangkan juga supaya ditambah satu Fasal baru kepada Perkara 121 itu, iaitu Fasal (1A), yang menjelaskan bahawa mahkamah-mahkamah yang tersebut dalam Perkara itu tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk mengadakan Mahkamah Tinggi supaya rujukan boleh dibuat olehp pihak yang tidak berpuas hati.”
Sejak pindaan Perlembagaan ini dibuat, kedudukan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah telah diiktiraf sebagai setaraf, dan berjalan seiring mengikut bidang kuasa masing-masing. Tidak yang satu lebih tinggi dari yang lagi satu.
Tetapi pindaan ini sangat tidak disukai oleh sesetengah golongan yang anti-Islam dan anti-Syariah di negara ini. Maka usaha telah dibuat, untuk mencabar pindaan ini, dengan mengimport masuk doktrin asing ‘basic structure’. Kononnya pindaan Fasal (1A) di bawah Perkara 121 itu adalah tidak sah, sebab bercanggah dengan “basic structure” Perlembagaan.
Ciri-ciri ‘basic structure’ ini tidak pernah ditafsirkan dengan jelas, tetapi secara umumnya boleh kita fahmkan melalui kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah, bahawa ia bermaksud:
(1) Kuasa kehakiman sekular tidak boleh disempitkan oleh mana-mana pindaan Parlimen, walaupun telah mendapat sokongan 2/3 majoriti di Parlimen (bermaksud, sekalipun orang Islam menang semua kerusi Parlimen, dan berkehendak untuk menjunjung penuh syariah seratus peratus, perkara itu boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil atas lesen kononnya ia bercanggah dengan ‘basic structure’ Perlembagaan);
(2) Kehakiman sekular mengatasi kedudukan mana-mana Mahkamah lain — maka kerana itu dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Syariah telah disamakan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai tribunal rendah sahaja, dan tidak setaraf dengan Mahkamah Sivil;
(3) Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditafsirkan oleh Mahkamah melalui sudut pandang kehakiman sekular, dan hak asasi manusia sekular-liberal adalah sebahagian daripada ‘basic structure’ ini.
Hakikatnya, Perlembagaan Persekutuan tidak pernah memperuntukkan mana-mana bahagian dari Perlembagaan sebagai kononnya “basic structure” atau struktur asas yang tidak boleh dipinda untuk penambahbaikan urus tadbir negara. Jika kita selak Perlembagaan dari muka awal hingga ke muka akhir, istilah ‘basic structure’ tidak akan kita temukan sama sekali. Dalam dokumen-dokumen sejarah, seperti Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, Laporan Suruhanjaya Reid, Laporan Kertas Putih, Laporan-Laporan Representasi dari Majlis Raja-Raja, dan segala macam dokumen sejarah lainnya — tidak satu pun daripada rekod-rekod sejarah itu yang membuat rujukan kepada mana-mana ‘basic structure’.
Basic structure doctrine ini cuma mula mendapat pengiktirafan oleh Mahkamah secara meluas pada tahun 2017, melalui pengguna-pakaian precedent asing dari India.
Sebab itu saya katakan bahawa pemakaian basic structure doctrine (BSD) ini dalam mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan, adalah sebenarnya bidaah dholalah; ia diada-adakan, ditokok-tambah, justeru itu adalah sesat lagi menyesatkan.
Kita harus kembali mentafsir Perlembagaan mengikut acuan kita, bukan dengan mengimport fahaman dan doktrin asing. Pada tahun 1988, Tun Mahathir dalam ucapannya di Parlimen pernah menegaskan seperti berikut:-
“Dengan kuasa membuat interpretasi ini, mahkamah boleh dan telah membuat interpretasi yang lari jauh daripada maksud dan semangat sesuatu undang-undang itu digubal. Mahkamah telah membuat keputusan bahawa dalam menguatkuasakan undang-undang, mereka tidak terikat dengan tujuan dan maksud undang-undang itu digubal oleh Parlimen. Mereka membuat dasar sendiri bahawa mereka hanya terikat dengan interpretasi mereka terhadap ayat-ayat yang didapati dalam undang-undang…. Walaupun mahkamah berkata mereka hanya terikat kepada susunan ayat dalam undang-undang, tetapi dalam kes-kes tertentu mereka membelakangkan undang-undang bertulis sama sekali… Ada mahkamah yang membelakangkan undang-undang yang bertulis kerana lebih mengutamakan keputusan kes-kes di Britain dan lain-lain negara. Sekali lagi saya ingin menarik perhatian bahawa Malaysia bukan Britain. Kebudayaan dan tamadun British dan lain-lain negara barat berbeza dengan ketaranya daripada kebudayaan dan tamadun masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di Malaysia.”
Sebab itu, jika Mahkamah menggunapakai doktrin asing yang membelakangkan jati-diri negara kita, kita sebagai rakyat harus zahirkan ketidakpuasan hati kita itu. Zahirkan supaya hakim-hakim, ahli-ahli parlimen dan para pemimpin negara sedar bahawa ada penolakan kuat terhadap pemaksaan fahaman asing ini.
Zahirkan penolakan kita bersama terhadap Basic Structure Doctrine (BSD) ini, dengan mendandatangani petisyen dalam talian ini: Bantahan Doktrin “Basic Structure”
Pautan Asal: Facebook Aidil Khalid
*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my*