Syed Saddiq Digesa Lebih Sensitif Kepada Isu Melibatkan Islam – PERKASA
Perkasa ingin menasihatkan YB Syed Saddiq agar lebih sensitif kepada isu yang melibatkan Islam iaitu agama negara ini.
Kenyataan Ahli Parlimen Muar ini agak bersifat liberal dan berani pertikaikan keputusan Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) dalam larangan isu Jom Ziarah Gereja anjuran sebuah NGO.
Selepas isu filem Mentega Terbang dan perarakan wanita sedunia ‘pelangi’ kini muncul pula program lawatan ke gereja.
Apakah pendirian isu yang melibatkan agama di mata YB Syed Saddiq? Adakah YB Syed Saddiq bersetuju dengan tindak tanduk yang sedang mengancam bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia ini?
Sepatutnya sebagai seorang ahli parlimen yang beragama Islam haruslah memahami dengan penuh penghayatan perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkasa lagi sekali ingin memberi ingatan kepada YB Syed Saddiq tentang apakah perkara 11 dan 11(4).
Di Malaysia, kebebasan beragama juga dijamin di bawah Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan di mana ianya menetapkan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. Perkara 11(1) menyatakan – “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkannya”.
Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: “Undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”
Perkasa berharap agar YB Syed Saddiq sebagai pembuat dan pengamal undang-undang, faham dengan perkara yang di tuntut di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Azrol Bin Mansor
Ahli Dewan Tertinggi Perkasa Malaysia
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my