Tempatan

Syarikat Swasta Berhak Halang Pekerja Solat Kerana Kelompongan Perlembagaan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 18 Februari 2022 – Syarikat swasta tidak boleh didakwa sekiranya pihak majikan membuat keputusan untuk menghalang para pekerja dari menunaikan ibadah di tempat kerja, menurut laporan Concerned Lawyers for Justice (CLJ) dalam Laporan Separuh Penggal mengenai Kitaran Ketiga Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang diterbitkan pada Januari 2022.

Baca: Majikan Halang Pekerja Solat

Baca: Gantikan Solat Jumaat Di Rumah – MUI

Baca: 96% Polis Melaka Sokong Umum Waktu Solat Semasa Bertugas

Ini kerana hak asasi para pekerja yang dilindungi oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak kebebasan beragama bagi setiap individu hanya terpakai dalam organisasi awam sahaja, menurut penghakiman kes Air Asia Berhad v Rafizah Shima Mohamed Aris.

Laporan CLJ menyebut, “Meskipun Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan untuk seseorang mengamalkan agamanya, namun Mahkamah Malaysia telah memutuskan bahawa hak asasi yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan cuma boleh dikuatkuasakan ke atas organisasi awam, dan bukan ke atas individu atau entiti swasta.”

“Ini bermakna syarikat-syarikat boleh menafikan hak-hak asasi para pekerja tanpa didakwa.”

Walaupun Jabatan Tenaga Kerja (JKT) telah membuat garis panduan agar majikan memberi pelepasan 20 minit untuk para pekerja menunaikan solat fardhu biasa dan 1 jam 30 minit bagi solat Jumaat, namun garis panduan itu hanyalah cadangan semata-mata dan tiada sebarang hukuman sekiranya majikan mengingkarinya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pernah mengesahkan menerima aduan daripada seorang pekerja di Hond Tat Industries Sdn. Bhd. (Hond Tat) berkenaan memo larangan solat bagi umat Islam dalam waktu bekerja.

Menurut Presiden MTUC Abdul Halim Mansor, beliau menerima gambar memo yang menyatakan pekerja syarikat itu tidak dibenarkan menunaikan sembahyang kecuali pada waktu makan tengah hari dan akan didenda RM500 untuk setiap kesalahan.

Terdapat beberapa aduan lain berkenaan ramai pekerja Muslim dihalang hak mereka untuk menunaikan solat Jumaat, dan solat harian lain yang berlaku di negara ini sedangkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan mendaulatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Oleh itu, CLJ mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan diluaskan lagi bidang kuasanya ke atas syarikat-syarikat swasta, dan bukan hanya ke atas badan awam.

CLJ juga mendesak agar sebuah seksyen dalam Akta Kerja 1955 (Akta 265) digubal bagi memberi kelonggaran kepada pekerja Muslim untuk menunaikan amal ibadah dalam waktu bekerja selain memperkenalkan undang-undang baru bagi menghukum mana-mana syarikat swasta yang menghalang para pekerja untuk menunaikan ibadah mereka.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: