NGO

SUHAKAM Perlu Kekal Institusi Bebas Dan Patuh Perlembagaan Persekutuan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1. Kami terdiri dari gabungan Organisasi Masyarakat Sivil (Civil Society Organisation @CSO) MACSA, PEMBELA, PPMM, dan mewakili lebih daripada 100 organisasi lain menzahirkan kegusaran kami dengan beberapa perkembangan mutakhir ini berkenaan SUHAKAM.

2. Sejak barisan Pesuruhjaya SUHAKAM yang baru bagi penggal 2022-2025 dilantik, dalam tempoh setahun ini kami melihat terdapat usaha bersepadu daripada sesetengah pihak yang ingin mengawal SUHAKAM bagi agenda mereka sendiri yang kian rancak. Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan untuk memberi gambaran yang salah dan mengelirukan kepada umum. Kami ingin membetulkan beberapa gambaran salah yang dibangkitkan daripada amatan kami.

3. Pertamanya, kami ingin menyatakan bahawa SUHAKAM kini lebih inklusif berbanding dahulu. Sesi libat urus SUHAKAM kini bukan sahaja dengan CSO-CSO kiri yang membawa aspirasi liberal tetapi telah terbuka dan menyantuni CSO-CSO Islam yang terlibat dalam advokasi Hak Asasi Manusia (HAM).

4. Dalam tempoh yang singkat ini, pihak kami telah berjaya mengadakan beberapa libat urus bersama SUHAKAM dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh MACSA telah bekerjasama dengan SUHAKAM dan UIA dalam bengkel literasi HAM pada awal tahun ini. Peguam MACSA juga telah dijemput mewakili SUHAKAM dalam “watching brief” kes-kes mahkamah mewakili SUHAKAM dan dijemput menghadiri kursus dan seminar mengenai proses semakan berkala sejagat (Universal Periodic Review atau UPR).

5. Ini jauh berbeza dari dahulu di mana CSO Islam tidak dilayan dan disisihkan.

6. Keduanya, SUHAKAM kini berpegang kepada konsep Hak Asasi Manusia yang lebih menyeluruh dan bertepatan dengan nilai budaya kita. HAM haruslah berpandu bukan sahaja kepada Pengisytiharan Sejagat HAM 1948 atau Universal Declaration of Human Rights 1948 yang kemudiannya banyak berkembang mengikut nilai Barat, tetapi mestilah turut mengambil kira deklarasi HAM yang disepakati oleh negara-negara OIC (Cairo Declaration of Human Rights @ CDHRI), Deklarasi HAM Asean (Asean Declaration of Human Rights @ ADHR) dan konvensyen-konvensyen antarabangsa yang diratifikasikan negara kita.

7. Pada setiap masa HAM kita mestilah berlandaskan Perlembagaan sepertimana termaktub dalam Akta SUHAKAM. Ini berbeza dengan pendekatan SUHAKAM sebelum ini yang dilihat oleh masyarakat seperti mengiktiraf HAM acuan Barat secara bulat-bulat kerana menganggap semua yang diformulasikan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu sebagai sesuatu yang bersifat “universal”.

8. Kami menolak cadangan meratifikasikan secara pukal konvensyen-konvensyen atau deklarasi-deklarasi yang tidak mengambil kira peruntukan Perlembagaan kita seperti ICERD dan kajian untuk mengiktiraf gender ketiga yang dipelopori SUHAKAM sebelum ini. SUHAKAM mestilah pada setiap waktu berpaksikan kepada Akta SUHAKAM dan Perlembagaan.

9. Ketiganya, kami melihat kemelut dalam SUHAKAM turut berpunca dari dana European Union (EU). Tuduh menuduh dan pertikaian timbul akibat pihak tertentu mahu mengawal dana tersebut. Kami mengambil maklum bahawa penerimaan dana asing ini berlaku dari dahulu lagi. Kami ingin menegaskan bahawa Seksyen 19 Akta SUHAKAM melarang sama sekali SUHAKAM menerima apa-apa dana asing kecuali bagi tujuan pendidikan dan kesedaran. Akta ini diadakan bagi melindungi SUHAKAM dari kepentingan kuasa asing mempergunakan SUHAKAM bagi manfaat mereka. Adalah lebih baik bagi kami dana tersebut dipulangkan walaupun bagi tujuan pendidikan dan kesedaran demi menjamin kebebasan SUHAKAM. Kesedaran dan pendidikan HAM dari barat kini selalunya mengait dengan penerimaan nilai yang tidak menurut nilai budaya dan keperlembagaan kita. Selain itu butir penerimaan dana asing oleh SUHAKAM sebelum ini dan siapa yang mendapat manfaat dari dana tersebut patut diumumkan secara terbuka.

10. Sebagai penutup, kami mahu usaha bersepadu untuk menjatuhkan SUHAKAM oleh golongan tertentu dihentikan segera.

Kami mahu SUHAKAM kekal terus menjadi lebih inklusif dengan melibatkan semua CSO-CSO Islam untuk terlibat dalam advokasi hak asasi manusia yang akan datang. Dan paling utama ialah SUHAKAM kekal berpegang kepada HAM berlandaskan acuan Perlembagaan kita.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: