Tempatan

SUHAKAM Ada Agenda Liberalisme – Abd Rahman Tajudin

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 7 April 2021 – Abd Rahman Tajudin @ Emang Galileo, salah seorang ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jama’ah Malaysia (ISLAMI) berpendapat bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mempunyai agenda liberalisme.

Ini selepas Pesuruhjaya SUHAKAM, Dato’ Dr. Madeline Berma membentangkan kertas kerjanya memperjuangkan hak pekerja seks di Malaysia menggunakan laras bahasa hak asasi manusia.

“Pandangan saya, SUHAKAM mempunyai agenda liberalisme, iaitu mahu membebaskan manusia daripada agama secara perlahan-lahan sehingga konsep humanisme mahu diketengahkan. Tujuan akhir adalah manusia itu menjadi sebagai tuhan yang berhak menentukan jalan hidupnya. Sedangkan, hakikatnya kita ini adalah hamba tertakluk kepada peraturan Sang Pencipta iaitu Allah.”

“Golongan Liberalisme ini menolak otoriti agama. Mereka menekankan kebebasan memberi dan menentukan fikiran. Apa pun permasalahan agama, semua orang berhak memberi pendapat. Semua orang boleh berijtihad. Otoriti agama hanya diada-adakan.”

Ujarnya, “Hak Asasi Manusia acuan barat sebenarnya berlandaskan ajaran Liberalisme. Liberalisme ialah kebebasan berfikir dan bertindak secara individu tanpa had. Ini bermakna hak kebebasan tanpa mengikuti prinsip agama. Manusia berhak bertindak sendirian tanpa dipengaruhi oleh tuhan menurut ideologi ini. Ini menyebabkan kecelaruan kerana hakikatnya pemikiran manusia ini terbatas, daya dan kemampuan manusia pun terbatas, serta perhubungan manusia juga terbatas.”

Tegasnya, hak asasi manusia perlulah mengikut tafsiran agama Islam kerana manusia memang diciptakan terbatas.

“Manusia memang diciptakan terbatas. Manusia merupakan hamba kepada penciptanya iaitu Allah. Maka, kebebasan yang ada pada manusia bukannya mutlak. Manusia bergantung kepada Hukum Hakam Ilahi yang telah menetapkan peraturan untuk kita hidup di dunia yang sementara ini. Agama Islam diturunkan untuk diikuti dan dipatuhi untuk maslahat kehidupan ini. Pada asasnya, manusia berhak untuk hidup aman damai namun tidak boleh melanggar di luar batasan.”

Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Felo Pusat Advokasi Naratif Pencegahan Ekstremism Agama (CONCAVE) di Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI) itu berkata, kenyataan Madeline melanggar prinsip kesopanan dan kesusilaan kerana mencadangkan untuk membenarkan aktiviti tidak bermoral ini iaitu mengiktiraf pelacuran / persundalan walaupun dalam nada membantu golongan pelacuran yang tertindas.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertamadun, seharusnya kita menjunjung tinggi Perlembagaan Negara yang mengutamakan prinsip Rukunegara. Antara Rukunegara yang terpenting adalah Kesopanan dan Kesusilaan. Pelanggaran kepada Rukunegara yang kelima ini akan menjejaskan keamanan dan boleh menganggu kestabilan negara.”

Tambahnya, manusia dianugerahkan hak al-karamah (kemuliaan) dan hak al-fadhilah (kelebihan). Aktiviti pelacuran merendahkan kemuliaan dan menjatuhkan kelebihan ini.

“Aktiviti tidak bermoral seperti pelacuran merendahkan al-karamah (kemuliaan). Manusia dikurniakan al-Fadhilah (kelebihan) berbanding dengan makhuk lain seperti haiwan kerana mempunyai akal fikiran. Aktiviti pelacuran menyebabkan taraf manusia sama dengan sifat haiwan. Kita tidak sanggup apabila diri kita dikatakan haiwan sedangkan hakikatnya aktiviti pelacuran ini merendahkan karomah insani jatuh turun kepada sifat kehaiwanan.”

“Apabila aktiviti ini berleluasa, ia akan meruntuhkan sistem dari bawah sehingga norma rakyat akan bertukar yang akhirnya meranapkan tamadun kita pada hari ini.”

Kata Abd Rahman Tajudin @ Emang Galileo lagi, kenyataan Madeline juga berbahaya terhadap Perlembagaan Negara yang menjunjung tinggi Prinsip Rukunegara, asas kepada negara ini.

Hal ini kerana, mengiktiraf aktiviti pelacuran merupakan sifat yang tidak bermoral untuk rakyat yang berintegriti lantas membawa kepada keranapan tamadun.

“Kita perlu memberitahu kepada golongan Liberalisme agar jangan sampai mengganggu-gugat norma yang baik dalam negara. Mengiktiraf pelacuran merupakan satu bentuk membenarkan norma negatif untuk dilakukan oleh masyarakat. Ini satu kesalahan. Bukan setakat kesalahan agama, malah ia bertentangan dengan prinsip Negara ini.”

“Apabila aktiviti ini berleluasa, ia akan meruntuhkan sistem dari bawah sehingga norma rakyat akan bertukar yang akhirnya meranapkan tamadun kita pada hari ini.”

Maka, pada pandangan beliau, NGO-NGO Islam memainkan peranan penting untuk bersuara dalam hal ini sebelum ia menjadi norma baharu dalam masyarakat.

“Pandangan saya, NGO Islam patut bersuara dalam hal ini untuk mendukung prinsip agama Islam yang ada pada Perlembagaan Negara. NGO Islam perlu bersuara melawan norma negatif ini sebelum ia menjadi parah dan diterima sebagai norma baharu. NGO Islam perlu menghantar memorandum kepada Majlis Agama Islam Negeri untuk menghalang aktiviti yang tidak bermoral ini. Hal ini perlu agar aktiviti negatif ini tidak menjadi sebagai norma baharu yang diterima oleh masyarakat sebagai perkara biasa yang normal walhal ia sebenarnya bertentangan dengan nilai prinsip kemanusiaan yang sejati.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: