Simpan Bekalan Minyak Masak Lebih Had, Pembekal Didenda RM 1Juta
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PADANG BESAR, 23 Julai 2022 – Seorang pembekal minyak masak bakal didenda RM1juta jika didapati bersalah kerana menyimpan bekalan melebihi had yang dibenarkan.
Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Polis Perlis Surina Saad selepas merampas 12 tan (12,156 kilogram) minyak masak yang disimpan pembekal tersebut dengan had yang tidak dibenarkan dan ia dianggarkan bernilai RM48,800.
“Hasil pemeriksaan mendapati pembekal tersebut menyimpan sejumlah 92.16 tan (92,156 kilogram) minyak masak botol 5 liter, sedangkan jumlah maksimun yang ditetapkan adalah 80 tan (80,000 kilogram),” kata beliau setelah selesai menyerbu premis pembekal tersebut di Kampung Baru Padang Besar.
Surina Saad memaklumkan, kes disiasat di bawah Peraturan 13 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan hukuman bagi kesalahan adalah denda maksimun RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
Barang kes dan suspek diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.