NGO

Silap PN Sempitkan Muafakat Ummah Hanya Kalangan Parti Politik – Presiden ISMA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1. Semalam saya dan beberapa rakan NGO menerima jemputan dari pejabat Tan Sri Muhyiddin untuk berdialog dengan beliau. Jemputan disampaikan oleh Tuan Syed dari PERKASA. Katanya majlis untuk NGO memberikan komen dan apa-apa yang terasa di hati selama ini.

2. Dialog berjalan dengan baik dimulakan dengan mukadimah oleh Tan Sri. Kemudian disusuli dengan satu demi satu wakil NGO bercakap. Secara umum saya rasa wakil-wakil NGO mengambil pendekatan bercakap dengan jujur tanpa ‘membodek’ atau ‘meletak harapan’ apa-apa. Ada yang lantang mengkritik kerajaan PN sebelum ini dan beberapa pendekatan PN.

3. Apa yang diucapkan oleh wakil NGO lain, saya tidak kongsikan di sini kerana takut saya tersilap ulas apa yang mereka sampaikan. Saya ingin kongsikan apa yang saya lontarkan sahaja semalam dalam pertemuan dialog tersebut.

4. Ada tiga noktah yang saya lontarkan.

i. Kesilapan pertama PN adalah kerana menyempitkan muafakat ummah hanya kepada gabungan parti-parti politik sahaja. Dari situ kekuatan muafakat tidak akan dapat dicapai dengan sempurna kerana di dalam masyarakat banyak lagi kumpulan manusia lain selain dari parti yang perlu dilibatkan sekali.

Penglibatan NGO Islam kalau sekadar untuk memberi pandangan, tidak akan memberikan apa-apa perubahan kepada negara. NGO-NGO Islam sekarang dengan pengalaman puluhan tahun melihat aksi parti-parti politik sudah tidak percaya bahawa parti politik boleh mengurus negara dengan baik. Penglibatan NGO dan lain-lain kumpulan dalam masyarakat mesti sampai ke peringkat bersama menggubal dasar, polisi dan hala tuju serta sama-sama terlibat mengurus.

ii. Kita kena kembalikan suasana persaingan antara Kerajaan dan pembangkang ke arah sama-sama berlumba untuk menjuarai isu-isu Islam dan Melayu seperti yang berlaku sekitar 80an dan 90an dulu. Ketika pembangkang melaungkan negara Islam, Kerajaan melaungkan Islamisasi dan seterusnya Islam Hadhari. Ini menguntungkan Islam dan Melayu.

Tetapi ianya bertukar kepada persaingan lain yang memberi kelebihan kepada idea-idea liberal. Bila pembangkang kuat kembali melaungkan Malaysian Malaysia, Kerajaan bertukar kepada slogan One Malaysia, Keluarga Malaysia dan lain-ain yang membawa persaingan dalam bentuk lain. Ini merugikan Islam dan Melayu jika berterusan begitu untuk jangka panjang seterusnya sebagaimana kita telah pun rugi sebelum ini.

iii. Jika naik sebagai pemerintah, tolonglah lantik menteri dan pegawai yang boleh buat kerja. NGO Islam ingin tumpu banyak lagi isu lain dalam masyarakat selain dari isu politik dan pentadbiran negara. Tetapi jika Jemaah Menteri dan pegawai Kerajaan tidak reti buat kerja, sama ada kerana tidak amanah atau tidak kompeten, NGO Islam terpaksa campur isu politik dan mengambil sikap menjadi pembangkang kepada Kerajaan.

4. Kesempatan yang pendek, bercakap pun kena laju dan ringkas. Tak pasti Tan Sri akan respon macam mana. Katanya dia catat. Harapnya bukan sekadar catatan sahaja.

Wallahu a’lam

Pautan Asal: FB Muhammad Fauzi Asmuni

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: