Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais Dilantik Ketua Hal Ehwal Agama Dua Masjid Suci
JEDDAH, 10 Ogos 2023 – Imam Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais dilantik sebagai Ketua Presidensi Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi setaraf pangkat menteri.
Media Saudi melaporkan, pelantikan itu dibuat dalam titah diraja oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman berikutan keputusan Majlis Kabinet menubuhkan Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta Pihak Berkuasa Am sebagai dua badan bebas di bawah naungan institusi diraja negara itu.
BACA JUGA: Banjir Terburuk Sejak 6 Dekad, China Bimbang Letusan Wabak
BACA JUGA: LPPPQ Lulus Pemuliaan Lebih 10 Ribu Bahan Al Quran
BACA JUGA: Badan Khusus Dan Bajet Kerajaan Pusat Perlu Bantu Pulih Tasik Chini
Sebelum pelantikan ini, Sheikh Al-Sudais telah berkhidmat sebagai Ketua Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci, yang ditukar menjadi Pihak Berkuasa Am untuk Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Susulan itu, Raja Salman turut melantik Menteri Haji dan Umrah Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Menurut laporan, Presidensi Umum yang baharu ini akan ditugaskan dengan semua pengkhususan, tugas dan kerja mengawasi hal ehwal imam dan muazin di kedua-dua masjid suci termasuk segala yang berkaitan pengurusan agama.
Pihak Berkuasa Am yang baharu pula akan menjalankan tugas tertentu, perkhidmatan, operasi, penyelenggaraan dan pembangunan khusus berkaitan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.