Setiap Kerajaan Gagal Dalam Kes Kalimah Allah – Haniff Khatri Abdulla
KUALA LUMPUR, 22 Mei 2023 – Isu kalimah Allah adalah satu bukti yang zahir, yang jelas bahawa setiap kerajaan telah gagal dalam kes ini!” kata Peguam Senior, Haniff Khatri Abdulla dalam isu penarikan balik rayuan dalam kes kalimah Allah Jill Ireland oleh Kerajaan dan Menteri Dalam Negeri baru-baru ini.
Ujarnya, Mahkamah telah menetapkan tarikh keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland pada 22 Mac 2018. Tapi setakat yang kita dengar, rayuan adalah terhadap keputusan Mahkamah sebelum Mac 2021. Apa jadi tiga tahun ini? Takkan keputusan tangguh tiga tahun? Pada hakikatnya, memang tangguh tiga tahun.
BACA JUGA: 11 (4) Tidak Benarkan Dakyah Orang Islam. Tolong Hormat – Pengerusi PEMBELA
BACA JUGA: Allah Kita Tidak Beranak Dan Tidak Diperanakkan – Kamal Shukri MPM
“Kenapa tangguh? Ini bukan langsung salah Mahkamah. Salah Kerajaan. Dan sebelum saya teruskan cerita ini, saya nak nyatakan di sini dengan cukup jelas. Isu kalimah Allah adalah satu bukti yang zahir, yang jelas bahawa setiap kerajaan telah gagal dalam kes ini! Tak ada isu politik di sini ya.”
“Setiap kerajaan; 22 Mac 2018, sudah ditetapkan tarikh pertama keputusan. 22 Mac 2018 kerajaan mana? Bukankah Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak? Kemudian, 19 Mei 2018, PRU-14, Kerajaan PH 1.0. Kemudian Sheraton Move 20 Februari 2020, Kerajaan baru masuk 28 Februari 2020, Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sampai 16 Ogos 2021, digantikan oleh Kerajaan Ismail Sabri dan sampailah pembubaran Parlimen pada 8 Oktober 2022, lepas PRU-15, Kerajaan Perpaduan Anwar Ibrahim. Kita stop sebelum Anwar Ibrahim sebab keputusan pada 10 Mac 2021, iaitu pada masa Perikatan Nasional. Tapi jangan lupa Barisan Nasional, Pakatan Harapan 1.0 pun kerajaan,” kata beliau lagi dalam Meja Bulat Perundangan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) pada Sabtu, 20 Mei 2023.
Tambah Haniff, kes ditangguhkan 22 kali kerana pada masa itu Mahkamah dimaklumkan oleh Peguam Persekutuan yang mewakili Kerajaan bahawa Kerajaan sedang berunding di atas permintaan Jill Ireland dan pihak-pihak di belakang Jill Ireland untuk cuba selesaikan perkara ini.
“Tiga tahun hampir tak selesai. Pada masa itu Menteri Dalam Negeri adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dan selepas Sheraton Move kita semua tahu dia jadi Perdana Menteri.”
“Tetapi, walau apa sekalipun, ketidakselesaian Kerajaan pada masa itu, kita jangan lupa, beliau telah berani memfailkan rayuan. That credit must be given. Bila keputusan keluar 10 Mac 2021, rayuan difailkan pada masa Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kemudian, masuk Kerajaan Ismail Sabri, rayuan masih ada di Mahkamah, beliau pun tak cuba buat apa untuk cuba selesaikan.”
Kerana itulah Haniff menegaskan bahawa kes kalimah Allah ini adalah satu bukti yang jelas bahawa setiap kerajaan telah gagal dalam kes ini.
Meja Bulat Perundangan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) ini telah diadakan pada Sabtu, 20 Mei 2023 bertempat di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Kuala Lumpur.
Selain Haniff Khatri, panel lain yang hadir adalah mantan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.