Tempatan

Serangan Peribadi Terhadap Raja-Raja Melayu, Kebiadaban Melampau Yang Tidak Boleh Dibiarkan – Pengerusi KEMUDI

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – “Golongan yang cuba membuat onar dan menghasut rakyat untuk membenci Raja-Raja Melayu dengan membuat serangan peribadi, ini adalah sikap ekstrim dan kebiadapan melampau yang tidak boleh dibiarkan!”

Demikian penegasan dari Pengerusi Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam (KEMUDI), Suzana Hj Othman seperti dalam Facebooknya selepas muncul golongan yang menghina Raja-Raja Melayu susulan perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ujar Suzana, bukan sahaja perisytiharan darurat itu dipolemikkan dan dipertikaikan, malah muncul pula golongan yang “membunuh karakter” Raja-Raja Melayu melalui medium sosial, satu keadaan yang mengancam Institusi Raja Melayu dan bangsa Melayu.

“Adalah suatu yang sangat mendukacitakan apabila hal ini terus menerus dipolemikkan khususnya oleh sebahagian orang-orang politik, seolah-olah cuba mengajak rakyat untuk mempersoalkan, hatta mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong.”

“Terbaru muncul pula elemen subversif dari pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan membuat ‘character assassination’ kepada Raja-Raja Melayu di media sosial. Sudah tentu mereka mempunyai agenda yang tersembunyi.”

“Dikhuatiri di sebalik kenyataan yang berbentuk serangan peribadi itu menyembunyikan unsur ancaman untuk memecah belahkan kesatuan bangsa dan agama kita dengan memijak Institusi Raja Melayu.”

Menurut Pengerusi KEMUDI itu, keputusan YDPA untuk mengisytiharkan darurat termaktub dalam kuasa baginda sebagai ketua negara dan tidak menyalahi konteks hukum Syariat mahupun hukum negara.

Justeru, keputusan baginda wajib ditaati

“Walaupun perbezaan pendapat adalah lumrah manusia, namun perlu difahami bahawa, keputusan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong adalah dalam fungsi baginda sebagai Ketua Utama Negara.”

“Dalam konteks Siyasah Syar’iyyah, ia merupakan suatu bentuk ‘ijtihad Ulil Amri’ yang wajib ditaati kerana keputusan baginda tidak bersalahan dalam konteks Hukum Syariat dan Hukum Negara (melalui Perkara 150 Perlembagaan).”

Oleh hal yang demikian, Suzana menyeru kepada orang Islam dan bangsa Melayu agar tidak mengkhianati perjuangan nenek moyang dengan tindakan menghina, mengaibkan Raja-Raja Melayu dan meruntuhkan Institusi Raja Melayu yang merupakan tonggak kedaulatan agama, bangsa dan watan.

“Ingatlah! Yang dipertahankan adalah INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU, manakala tubuh badan Duli-Duli Tuanku adalah mewakili AMANAH INSTITUSI junjungan bangsa ini selama beratus-ratus tahun.”

“Jangan khianati perjuangan nenek moyang kita yang sentiasa menjadi benteng kepada Institusi Raja-Raja Melayu, kerana leluhur kita faham institusi ini adalah TONGGAK KEDAULATAN AGAMA, BANGSA DAN WATAN. Tercalar institusi ini, tercalarlah maruah kita sebagai sebuah bangsa yang berdaulat! Roboh institusi ini hancurlah permuafakatan bangsa Melayu sebagai bangsa PENDOKONG DAN PEMBENTENG ISLAM,” ujarnya dengan penuh ketegasan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: