Selepas Dos Ketiga, Ayah Saya Sekali Lagi Terkena Strok – Mufti Perlis
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KANGAR, 19 Januari 2022 – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mendedahkan di laman Instagram beliau bahawa ayahnya menderita strok sekali lagi di bahagian sensitif di kepala selepas beberapa hari menerima dos ketiga vaksin Covid-19.
“Ayahanda saya sudah lebih seminggu di hospital. Selepas dos ketiga, beliau mula muntah dan menjadi sangat lemah. Menurut doktor, beliau terkena sekali lagi stroke di bahagian yang sensitif di kepala.”
“Punca masih tidak jelas. Apakah ada kaitan dengan dos penggalak atau tidak? Saya tidak pasti. Hanya pakar yang dapat menjelaskan.”
Beliau juga menukilkan sebuah kisah menyayat hati mengenai anak sahabatnya yang sebelum itu sihat tetapi meninggal dunia secara mengejut selepas menerima suntikan dos ketika vaksin.
“Kebetulan minggu sebelum itu ada anak seorang sahabat meninggal setelah jatuh sakit mengejut selepas dos ketiga. Beliau sebelum itu sihat. Saya tidak pasti sebab kematian yang sebenar. Keluarga beliau orang kampung tidak menuntut siasatan terperinci.”
Ilmuan tersebut juga berkongsi kisah tentang kematian secara mengejut seseorang yang bakal mengerjakan ibadah umrah, juga setelah mengambil dos penggalak tersebut.
“Sebelum itu, ada juga orang yang rapat dengan saya yang menceritakan seorang bakal ahli jemaah umrah beliau yang ambil dos penggalak sebagai syarat umrah, tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal. Juga tidak pasti apakah punca sebenar. Kebetulan atau ada kaitan? Kena kajian pakar.”
Oleh itu, Mufti Perlis menggesa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memandang serius serta mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai.
“Apapun, pihak KKM wajar memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai. Ramai yang menyebut hal ini di sosial media. KKM kena ambil perincian setiap kes.”
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah mendesak jutaan penerima dos lengkap vaksin mengambil suntikan dos penggalak atau status vaksinasi MySejahtera mereka akan ditukar kepada tidak lengkap selepas Februari 2022.
“Individu terbabit tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19,” tegas menteri itu.