Selangor Dijangka Naikkan Elaun Guru KAFA?
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 10 Ogos 2022 – Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyatakan bahawa pihaknya telah mengusulkan cadangan untuk meningkatkan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.
Menurut Mohd Zawawi, pihaknya mencadangkan untuk meningkatkan elaun tersebut sebanyak RM100 daripada jumlah sedia ada RM1,000 bagi membantu guru-guru KAFA untuk berdepan krisis ekonomi yang berlaku pada saat ini.
“Bagi membantu tingkatkan kualiti dan taraf profesion guru KAFA ini, saya cadangkan ada kenaikan elaun supaya mereka dapat bertahan dalam keadaan ekonomi sekarang ini,” ujarnya menurut laporan sebuah portal.
“Mungkin RM100 sebulan, tu antara cadangannya. Ia akan diputuskan dalam Majlis MMKN Selangor.”
Mohd Zawawi turut mengulas mengenai isu penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh untuk guru KAFA oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ujarnya, satu semakan akan dibuat dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana pelaksanaan perkara tersebut di bawah agensi berkenaan.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan bahawa guru KAFA yang bersalin akan menikmati elaun cuti bersalin sebanyak RM1,000 bermula tahun ini.
Namun, JAKIM menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh tersebut dengan alasan bagi mematuhi saranan dan pandangan Kementerian Kewangan.