Saudi Tahan Jemaah Bersolidariti Palestin Di Tanah Suci
ARAB SAUDI, 17 November 2023 – Arab Saudi bertindak menahan jemaah umrah yang menunjukkan solidariti Palestin di tanah suci Mekah dan Madinah baru-baru ini.
Pelakon dan penyampai Britain, Islah Abdur-Rahman yang sedang menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya di Mekah berkata bahawa dia ditahan oleh tentera Saudi kerana memakai keffiyeh Palestin.
“Malangnya saya telah ditahan selama 1 jam setengah oleh tentera Arab Saudi di Kota Suci Mekah. Mereka tidak jelas mengapa mereka menahan saya, mengiringi saya ke lokasi luar. Selepas menyoal siasat, menyemak dokumen. Rupa-rupanya kerana saya memakai keffiyeh Palestin dan memiliki tasbih berwarna Palestin di tangan saya,” luahnya menerusi satu hantaran Instagram.
Ujar beliau, pihak berkuasa Saudi juga memeriksa visanya, mengambil cap jari dan tandatangan serta merampas keffiyeh dan tasbih tersebut.
Dalam pada itu, Islah turut meluahkan kebimbangannya terhadap apa yang terjadi sehingga berkata, “Inilah realiti bagaimana rakyat Palestin tiada suara!”
“Pengalaman ini memberi saya sedikit sahaja tentang apa yang mungkin dialami oleh seorang Palestin yang dinafikan hak mereka semata-mata kerana wujud.”
Pada masa sama, media tempatan melaporkan, sekumpulan jemaah umrah Malaysia telah ditahan pihak berkuasa di Madinah kerana dianggap menunjukkan tanda solidariti kepada Palestin apabila mereka bergambar dengan menunjukkan jari telunjuk ke langit.