Saman Indira Ghandi: Mahkamah Benarkan Buang Perkataan Darul Sunnah dan Darul Azim
KUALA LUMPUR, 03 Julai 2023 – Yang Arif Hakim Datuk Ahmad Kamal Bin Md Shahid dalam sesi pengurusan kes Indira Gandhi lawan 8 negeri hari ini membenarkan permohonan peguam plaintif untuk membuang perkataan Darul Sunnah pada Kerajaan Negeri Perlis dan Darul Azim pada Kerajaan Negeri Melaka.
Permohonan pindaan dibuat bagi membetulkan kekhilafan Plaintif menamakan kerajaan-kerajaan Negeri tersebut dengan perkataan Darul Sunnah dan Darul Azim. Hakim ketika bertanyakan kepada pihak peguam plaintif dari mana rujukan dibuat untuk menamakan Kerajaan Negeri Perlis Darul Sunnah dan Kerajaan Negeri Melaka Darul Azim, dimaklumkan oleh peguam plaintif, rujukan diperolehi dari laman web internet.
YB Tuan Mohd Radhi Abas, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis (turut sebut bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah, Melaka, Pahang dan Perak) mencelah dengan menjelaskan bahawa laman web rasmi Perlis dan Melaka tidak menamakan negeri mereka dengan nama yang dinamakan plaintif. Semua nama rujukan terhadap negeri mesti mengikut nama yang tercatat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing.
Permohonan plaintif dibenarkan oleh YA Hakim tanpa sebarang kos. Pihak Kerajaan Negeri Perlis dan Melaka tiada bantahan terhadap permohonan tersebut.
Pengurusan kes pagi tadi dibuat di hadapan Yang Arif Hakim Datuk Ahmad Kamal Bin Md Shahid.
Peguam bagi Plaintif diwakili N. Rajesvaran A/L K. Nagarajan & Lusinthra Pillai A/P Umadas manakala defendan-defendan diwakili oleh YB Tuan Mohd Radhi Abas, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis (turut sebut bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah, Melaka, Pahang dan Perak).
MAIWP diwakili oleh Dato’ Zainul Rijal Bin Abu Bakar dan Danial Farhan bin Zainul Rijal manakala Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan (BPSWP) diwakili oleh Nini Shirma Binti Rahmat.