Saksi Dakwa ‘Pelawak’ Crackhouse Club Langgar ‘3R’
KUALA LUMPUR, 21 Mac 2023 – Seorang hos sukarela Crack House Comedy Club, Muhammad Asyraf Kamal Musthaffa, 26, mendakwa Siti Nuramira Abdullah melanggar peraturan ‘3R’ dengan menyentuh isu sensitif iaitu agama.
Menceritakan kejadian yang berlaku pada 4 Jun tahun lalu, Asyraf yang menjadi saksi pendakwaan yang pertama berkata, dia telah mengingatkan mengenai peraturan `3R’ iaitu tiga isu berkaitan agama, bangsa dan raja secara lisan sebelum membuat persembahan selaku hos kelab komedi itu.
“Apa yang saya buat dengan mereka yang baru dan nak buat persembahan, saya akan beri taklimat ringkas seperti tidak sentuh beberapa isu tertentu.”
BACA JUGA: Jom Ziarah Gereja: Menteri Belia Dipanggil Polis Bantu Siasatan
BACA JUGA: DUN Johor Guna Istilah ‘Pengimbang’ Ganti ‘Pembangkang’
BACA JUGA: Tun M Mohon Tandatangan Proklamasi Orang Melayu Jika Sayang Bangsa
“Ia lebih kepada peraturan yang tidak bertulis, selain mereka yang terbabit perlu pastikan ikut masa ditetapkan untuk tidak ganggu masa persembahan lain,” katanya dalam perbicaraan di Mahkamah Sesyen pada Isnin.
Mengakui terkejut dengan tindakan Siti Nuramira, Asyraf berkata persembahan Siti Nuramira bukan sesuatu yang lawak.
“Ketika Amy (Siti Nuramira) buat persembahan, dia perkenal dirinya, dan sebut dia hafal 15 juzuk Quran, dan dia terus buka tudung dan baju kurungnya. Dia pakai pakaian yang lebih terdedah (di sebalik tudung dan baju kurung).”
“Dia kemudian sebut beberapa kata kesat seperti ‘Hello mother******’. Selepas itu, saya tercengang,” ceritanya.
Katanya, walaupun terkejut dia tetap meneruskan tanggungjawab mengendalikan acara itu untuk menenangkan penonton.
“Pada pandangan saya, apa yang saya dapat lihat adalah penonton terkejut, reaksi bercampur-baur. Saya tak dapat tumpu kepada setiap orang…Jadi selepas itu saya ke pentas dan tenangkan keadaan,” katanya.
Perbicaraan terhadap Siti Nuramira, 27, sedang berlangsung atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di Crack House Comedy Club, Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail di sini kira-kira pukul 6 petang, 4 Jun 2022.
Rakaman video kejadian itu tular di media sosial kerana didakwa mencetuskan kontroversi tidak bermoral yang membawa kepada pendakwaan terhadapnya pada 13 Julai 2022.
Siti Nuramira didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan melibatkan agama, antara individu atau kumpulan yang menganut agama sama atau berlainan.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara lima tahun.
Perbicaraan bersambung hari ini.