Sah, Data Peribadi Rakyat Malaysia Kini Terdedah Kepada Semua
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 15 Jun 2022 – Seorang pengguna laman Twitter mendedahkan data peribadi rakyat Malaysia yang terkandung dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara kini boleh diakses oleh sesiapa sahaja dengan mudah.
“Kita ada situasi. Terdapat OSINT (laman web sumber terbuka) dalam Clearnet yang guna pangkalan data yang bocor dari Jabatan Pendaftaran Negara. Saya baru sahaja cuba dan kita memang jahanam,” dedah @Radz1112.
OSINT (laman web sumber terbuka) adalah sebuah alatan yang mengumpul data-data daripada sumber terbuka dan percuma sebelum ia dikongsikan kepada pengguna yang mahukannya. Clearnet pula merupakan carian di Google tanpa perlu mengunakan dark web.
Beliau yang menggelar dirinya sebagai penyelidik sekuriti bebas berkata lagi, apa yang diperlukan adalah nama dan mungkin tarikh lahir seseorang dan anda boleh mengesahkan sama ada individu tersebut bekerja untuk pasukan polis/ tentera Malaysia.
“This is such an operational security sh*t show. Pertahanan negara kita dah musnah.”
Kewujudan laman web sumber terbuka ini juga disahkan oleh Syahredzan Johan, seorang peguam.
“Saya semak laman web itu dan walaupun data terperinci memerlukan pendaftaran dan pembayaran (yang saya tidak mahu lakukan), data peribadi nampaknya ada di sana.”
“Sebagai contoh, anda hanya perlu mencari nama seseorang dan nombor IC (disunting) ada di sana. Ia amat membimbangkan,” ujar Setiausaha Politik Lim Kit Siang itu lagi.
Susulan pendedahan ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa telah mengarahkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) untuk menyekat laman web tersebut.
Tindakan untuk menurunkan laman web tersebut telah dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang, hari sama selepas isu penjualan data dari laman web tersebut mula didedahkan menerusi laman Twitter pada pagi Ahad lepas.
Siasatan lanjut yang lebih mendalam sedang dijalankan secara bersepadu oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), JPDP, CSM, MCMC, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia.