Sabah Diiktiraf Sebagai Tapak UNESCO Triple Crown, Ketiga Di Dunia
KOTA KINABALU, 29 Mei 2023 – Sabah diiktiraf sebagai tapak Triple Crown Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjadikannya sebagai lokasi ketiga di dunia menerima pengiktirafan tersebut.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini berikutan pengisytiharan Geopark Negara Kinabalu sebagai The Kinabalu UNESCO Global Geopark.
Menurut beliau, perkara itu merupakan pencapaian yang baik bagi Kerajaan Sabah menerusi inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Taman-Taman Sabah.
BACA JUGA: Jabatan Penjara Benar Lawatan Keluarga 2 Hari Sempena Pesta Menuai
BACA JUGA: YPPM Gesa Isytihar Pondok Pesantren Di Jawa Barat Sebagai Sesat
BACA JUGA: Cuaca Panas: Aktivis Gesa Tindakan Realistik Diambil
Ujar Hajiji, Geopark Global UNESCO Kinabalu kini secara rasminya menjadi destinasi Geopelancongan Global yang menambah nilai kepada produk eko-pelancongan sedia ada di negeri itu.
Tambahnya, “Geopark memiliki banyak tumbuhan dan haiwan endemik, termasuk 90 spesies orkid yang hanya terdapat di Gunung Kinabalu. Ini termasuk burung ayam hutan berkepala merah yang tidak ditemui di tempat lain di muka bumi ini.”
“Ini pastinya membawa manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada sosioekonomi Sabah, khususnya kepada lebih 290,000 masyarakat tempatan di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau.”
Lanjutan itu, kini terdapat 195 taman geopark seluruh dunia, terletak di 48 buah negara, menerima pengiktirafan UNESCO.
Label Geopark Global UNESCO mengiktiraf warisan geologi yang berkepentingan antarabangsa dan geopark memberi perkhidmatan kepada masyarakat tempatan dengan menggabungkan warisan pemuliharaan geologi dengan outreach awam serta pendekatan mampan untuk pembangunan.