Rusia Takkan Undur Tentera, Walau Dituntut Ukraine – Putin
RUSIA, 24 JUN 2024 – Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengeluarkan kenyataan bahawa tuntutan Ukraine agar Rusia mengundurkan tenteranya itu hanyalah bertujuan untuk mengekalkan konflik tersebut.
Menurut Putin lagi, ianya adalah kerana tuntutan Ukraine itu hanyalah satu-satunya jalan bagi pentadbiran Kiev sekarang untuk berada terus dalam kuasa mereka.
Kenyataan tersebut dikeluarkan Putin sewaktu sesi sidang media di Hanoi, sewaktu beliau bertemu serta bermesyuarat dengan para pemimpin Vietnam pada Khamis lalu.
Ujar Putin lagi, “Jika rundingan itu berkaitan dengan pengunduran tentera kami, yang mana ianya adalah impian rejim Kiev, maka ianya sama sekali tidak akan berlaku”.
“Ini disebabkan rejim Kiev tidak mahu melepaskan kuasa mereka, mereka tidak mahu mengadakan pilihanraya sebagaimana yang terkandung dalam perlembagaan Ukraine, mereka akan terus menerus menunda perbincangan tentang gencatan senjata”.
“Ini bermakna Kiev mempunyai kepentingan terhadap tentera kami yang masih kekal di sana, kerana mereka tidak mahu mengadakan pilihanraya”.
Putin sebelum ini telah meletakkan syarat bagi gencatan senjata, iaitu Kiev hendaklah mengundurkan tentera mereka daripada empat wilayah serta membuat makluman secara bertulis kepada Moscow bahawa mereka tidak lagi merancang untuk menyertai NATO.