Rusia Batal Ratifikasi Perjanjian Percubaan Nuklear
RUSIA, 18 Oktober 2023 – Para ahli Parlimen Rusia telah bersepakat bagi memilih untuk membatalkan ratifikasi perjanjian Comprehensive Nuclear-Test-Ban Treaty (CTBT) yang menghalang sebarang bentuk percubaan nuklear.
Walaupun usul pembatalan tersebut memerlukan dua bacaan tambahan namun para ahli Parlimen rendah, Majlis Duma bersepakat dengan pantas menyokong penarikan semula ratifikasi Rusia bagi perjanjian tersebut.
Perjanjian CTBT telah dimulakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1996 bagi tujuan menghalang sebarang bentuk letupan nuklear termasuklah yang di dalam air mahupun di bawah tanah.
Menurut PBB, di antara tahun 1945 sehingga 1996, terdapat lebih daripada 2000 kejadian percubaan nuklear yang mana kebanyakannya dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Soviet Union.
Walaupun kebanyakan negara telah menandatangani serta meratifikasi perjanjian ini namun ianya masih belum dikuatkuasakan kerana terdapat lapan negara yang belum meratifikasikannya termasuklah Israel, AS, Pakistan, China dan Korea Utara yang mana kesemua negara tersebut mempunyai program nuklear mereka sendiri.
Rusia telah meratifikasikan perjanjian tersebut pada tahun 2000 dan pada waktu tersebut AS dan beberapa negara lain telah menandatangani perjanjian tersebut namun masih enggan untuk membuat ratifikasi.
Speaker dewan Rusia, Vyacheslav Volodin telah mengeluarkan ulasan bagi pembatalan ini dengan menyatakan bahawa para ahli Parlimen mereka telah bertindak sedemikian bagi mengekalkan “kesamarataan strategik global”.