Rumah Muslim Dimusnahkan, Ulama Islam India Bakal Menentang Di Mahkamah Tinggi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BHOPAL, 21 April 2022 – Sekumpulan ulama Islam India di Bhopal memutuskan untuk pergi ke Mahkamah Tinggi Madhya Pradesh bagi menentang tindakan kerajaan meroboh rumah orang Islam berikutan insiden keganasan di daerah Khargone dan Barwani.
Kumpulan ulama, yang diketuai Shahar Qazi Syed Mushtaque Ali Nadwi, mempercayai bahawa kerajaan negeri telah menyebabkan beberapa keluarga orang Islam kehilangan tempat tinggal malah terpaksa bertahan di bawah langit terbuka dalam keadaan cuaca panas terik di negara itu.
Menurut laporan India TV News, ulama-ulama itu juga mendakwa kerajaan pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP) bersikap berat sebelah dan menyasarkan golongan Muslim tanpa menjalankan sebarang siasatan ke atas kes keganasan yang berlaku.
Sebanyak 100 buah keluarga terpaksa meninggalkan daerah Khargone setelah kerajaan terburu-buru merobohkan rumah dan kedai mereka tanpa menjalankan sebarang siasatan. Kerajaan juga telah mendakwa umat Islam yang terlebih dahulu memulakan serangan terhadap Hindu sewaktu perayaan Ram Navmi.
“Sebuah masyarakat ditadbir oleh undang-undang. Seseorang yang melakukan jenayah harus dihukum, bukan keluarganya. Mengapa rumah dirobohkan jika salah seorang ahli keluarga membuat kesalahan,” tegas Syed Mushtaque Ali.
Tambah beliau, tindakan ini adalah sebuah bentuk penindasan, keterlaluan, dan melanggar undang-undang terhadap masyarakat Islam.
Kerajaan memulakan perobohan di daerah Khargone dan Barwani, sehari selepas tercetusnya pertempuran perkauman pada 10 April lalu.