Ronald Kiandee Dakwa 4 Ahli Bersatu Lompat Parti
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SELASA, 20 DISEMBER 2022 – Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee telah mendakwa bahawa kerusi empat orang ahli parlimen perlu dikosongkan berikutan kedudukan mereka kini dikatakan bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Beliau telah membuat kenyataan sedemikian pada sidang parlimen penggal ke-15 yang berlangsung pada petang hari Isnin baru-baru ini.
Ronald pada awalnya mengucapkan tahniah kepada empat ahli parlimen yang beliau sifatkan sebagai “rakan seperti saya yang pada ketika ini duduk di sebelah sana”. Empat orang yang dimaksudkan beliau adalah Ahli Parlimen Papar, Ahli Parlimen Batu Sapi, Ahli Parlimen Ranau dan Ahli Parlimen Sipitang.
Beliau kemudiannya menyatakan bahawa walaupun beliau berada dalam satu parti yang sama namun pendirian mereka adalah berbeza.
Kemudian beliau membacakan sepucuk surat yang ditulis oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dihantar kepada YB Muhyiddin Yasin, di mana surat tersebut telah ditandatangani oleh setiausaha PPBM yang bertarikh 3 November 2022.
Surat tersebut menyatakan bahawa enam orang calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding atas logo GRS namun sebenarnya adalah calon PPBM.
Menurut Ronald, perbezaan kedudukan di kerusi parlimen yang berlaku ketika ini mungkin sesuatu yang lazim sebelum ini. Namun dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan RUU Anti-lompat Parti, perkara ini harus diperjelaskan berikutan berdasarkan akta lompat parti yang terkini, legitimasi pemegang empat kerusi ini adalah dipertikaikan.