RM4.8 Juta Bantuan Makanan Banjir Diagihkan Di Pahang
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUANTAN, 04 November 2022 – Barangan keperluan makanan kering bernilai RM4.8 juta selesai diagihkan ke 156 pangkalan hadapan di seluruh Negeri Pahang sebagai persediaan menghadapi bencana Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pengagihan dilakukan secara berperingkat telah bermula sejak 22 Oktober lalu.
Jelasnya, Pahang mempunyai 156 pangkalan hadapan iaitu 33 di Temerloh, diikuti Jerantut (19), Kuantan (18), Lipis (15), Pekan (14), Rompin (14), Maran (12), Bera (12), Raub (11), Bentong (5) dan Cameron Highlands (3).
“Sembilan jenis barangan disediakan seperti beras, gula, garam, kopi, teh, biskut, minyak masak, makanan dalam tin dan kari ayam dalam tin.”
Katanya, peruntukan persediaan diberikan oleh kerajaan Pahang di bawah Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWANP) dan pihaknya bertanggungjawab untuk menguruskannya.
“Semua barangan makanan kering yang diberi akan diagihkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk kegunaan mangsa banjir dan mangsa-mangsa yang terkesan.”
“Di Pahang terdapat sebanyak 808 PPS disediakan bagi menempatkan mangsa banjir, selain sekolah turut dijadikan PPS ialah balai raya, dewan serba guna dan balai penghulu.”
Tambahnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sukarelawan JKM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga akan membantu dalam pengurusan PPS kelak.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan jabatan turut menyediakan aplikasi yang menyediakan maklumat bencana, selain statistik dan fasiliti yang disediakan pihaknya bagi menghadapi MTL.
Beliau berkata demikian pada pelancaran flag off penghantaran bekalan makanan kering bencana ke 18 pangkalan hadapan daerah ini yang disempurnakan Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah, pada Khamis lalu.