Ridhuan Tee Tegur Melayu Rosakkan Agama, Bangsa Dan Negara
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2022 – Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, kerosakan yang wujud ketika ini baik dari aspek agama, bangsa mahupun negara adalah disebabkan orang Melayu sendiri.
“Semua tahu bahawa selama ini tangan-tangan Melayu yang merosakkan Melayu dan apa jua berkaitan dengannya, meskipun keistimewaan tersebut ada dalam Perlembagaan.”
Tambah beliau, kerosakan tersebut sekali gus membuka peluang kepada ultra kiasu untuk mengambil kesempatan di atas peluang yang dilompongkan oleh orang Melayu sendiri.
Beliau turut menegaskan bahawa bangsa lain tidak akan mampu menolong orang Melayu selagi mana mereka masih tidak sedar.
Mengambil contoh usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru-baru ini berucap dan mempromosikan bahasa Melayu di persada antarabangsa dianggap sia-sia sekiranya tidak disahut rakyat, tetapi ianya perlu disokong oleh ketua daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata beliau.
“Tidak ada cara lain untuk menyelesaikan masalah ini, selagi kepemimpinan tertinggi tidak mengeluarkan arahan dan bertindak tegas terhadap mereka yang telah mati jiwa dan jati diri.”
Sekiranya pihak berkenaan masih tidak mahu berubah, mereka wajar digantikan dengan orang lain yang lebih berwibawa dan ada kesedaran hidup bernegara berpandukan Perlembagaan, saran beliau.
Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee juga menasihatkan supaya Malaysia belajar negara-negara seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan lain-lain bagaimana mereka mendaulatkan agama, bangsa dan negara mereka.
Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan juga berpandangan bahawa usaha Perdana Menteri itu tidak disia-siakan tetapi disambut oleh penjawat awam dengan berusaha menggunakan Bahasa Melayu dengan semaksimum mungkin dalam semua urusan pentadbiran negara.
Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh turut menyarankan supaya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) diberi tekanan agar menggunakan Bahasa Melayu kerana amat malang sekali sekiranya membiarkan mereka terus-terusan menggunakan Bahasa Inggeris.