Revolusi Perancis: Pengguna Twitter Perlu Disiasat – Tan Sri Musa Hassan
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 04 Oktober 2021 – “Siasatan perlu dijalankan ke atas pengguna Twitter berkenaan kerana ini adalah percubaan menghasut untuk membenci institusi Raja dan cuba untuk mewujudkan pemberontakan terhadap institusi dan kedaulatan Raja,” tegas mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Ujarnya, apabila seseorang merujuk kepada ‘Revolusi Perancis’ ia menunjukkan ada unsur mewujudkan revolusi seumpama itu di negara ini.
Para sejarawan mengetahui bahawa ‘Revolusi Perancis’ adalah untuk menggulingkan pemerintahan beraja di mana keluarga diraja Perancis telah digulingkan dan dibunuh dan mewujudkan Republik Perancis.
“Oleh itu mereka yang mengutarakan revolusi ala Perancis juga menginginkan pengusiran kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mewujudkan sebuah republik. Ini selalunya dibawa oleh mereka yang berhaluan demokrasi liberal.”
Ujarnya lagi, undang-undang jenayah di Malaysia tidak mentafsirkan kesalahan treason atau derhaka.
“Walau demikian, Seksyen 121B Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri iaitu menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang merancang, mengada-ada, mereka-reka atau berusaha akan pemecatan atau perlucutan YDPA dari Pertuanan Malaysia atau perlucutan Raja-Raja, bakal-bakal atau penggantinya-penggantinya atau YDP Negeri dari pemerintahan sesebuah negeri atau mempertakutkan kerajaan Malaysia atau kerajaan mana-mana negeri dengan jalan kekerasan jenayah atau dengan menunjukkan kekerasan jenayah boleh dihukum penjara seumur hidup dan dikenakan denda. Ini adalah satu kesalahan yang serius,” tegasnya.
Walau bagaimanapun, belum ada lagi kes yang dituduh di bawah seksyen ini.
“Tetapi ada kes yang dituduh di bawah Seksyen 121 iaitu berperang atau cuba berperang atau menyubahati perang melawan YDPA, Raja atau YDP Negeri iaitu kes di Sauk Perak apabila sekumpulan orang telah merampas senjata dari Kem Tentera Wataniah dan menyebabkan pembunuhan dan penahanan 2 orang anggota polis oleh kumpulan penjenayah ini dan ketua kumpulan berkenaan dijatuhkan hukuman gantung.”
Kenyataan ini dikeluarkan susulan satu ciapan di Twitter minggu lalu yang yang memberi komen mengenai lawatan KDYMM Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Muzium Victoria dan Albert di London.
Ciapan tersebut berbunyi: “I don’t want to say much nanti masuk penjara. Tak takut ke golongan ini kalau terjadi macam Revolusi Perancis dan Revolusi Iran.”