Raya Haji, Kelantan Cuti 5 Hari
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KOTA BHARU, 08 Jun 2022 – Bersempena dengan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada Ahad ini, 10 Julai 2022, rakyat Kelantan akan diberi cuti selama lima hari dengan tambahan cuti sempena Hari Wukuf esok, lapor media tempatan, Harakah Daily.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memberitahu, sempena Hari Wukuf di Padang Arafah, kerajaan negeri telah mewartakan tarikh 9 Zulhijah 1443 bersamaan 9 Julai 2022 sebagai hari pelepasan am bagi negeri tersebut.
“Sehubungan itu memandangkan Hari Wukuf jatuh pada hari Sabtu (9 Julai), dan Hari Raya Korban pertama dan kedua masing-masing jatuh pada 10 dan 11 Julai,” kata kenyataan tersebut yang mana surat pemakluman mengenai perkara itu telah dikeluarkan pada 10 Jamadilakhir 1443 bersamaan 13 Januari 2022.
“Maka bertepatan dengan pemakluman surat berkenaan, hari Selasa iaitu 12 Julai ini adalah hari kelepasan am sebagai cuti gantian Hari Raya Korban hari yang kedua.”
Kenyataan sama memberitahu, Kerajaan Kelantan akan mengadakan majlis sambutan Hari Wukuf pada Sabtu ini di 14 kawasan parlimen negeri tersebut. Majlis yang berlangsung jam 8.30 pagi itu akan menyiarkan rakaman ucapan amanat Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan kuliah oleh penceramah jemputan.
Di Pengkalan Chepa, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary akan mengadakan kuliah sempena Hari Wukuf di Dataran Pantai Kundur bermula jam 8.30 pagi. Dan kawasan parlimen Kota Bharu akan menyambutnya di perkarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Kelochor, dan kuliah akan disampaikan oleh Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dr Mohd Azhar Abdullah.