RapidKL Maklum Perubahan Kekerapan Tren Sehingga Disember 2022
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 19 November 2022 – Rapid Rail dan pihak kontraktor akan menjalankan sesi ujian operasi bermula 22 November 2022 sehingga 18 Disember 2022 sebagai persediaan untuk pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya.
Berikutan itu, kekerapan tren akan berubah di mana Waktu Puncak menjadi 8 minit, manakala Waktu Bukan Puncak akan menjadi 12 minit.
Perubahan ini adalah bagi sesi percubaan akhir operasi MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua kelak.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjangkakan operasi MRT laluan Putrajaya Fasa Dua ini akan beroperasi pada Januari 2023 dengan Fasa Satu sudah beroperasi sejak Jun tahun lalu.
MRT Laluan Putrajaya itu mempunyai sembilan stesen baharu iaitu Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu.
Sementara itu, tiga stesen laluan Kajang iaitu Kwasa Damansara, Kampung Selamat serta Sungai Buloh yang beroperasi pada 2016 dan ditutup sejak Oktober tahun lalu bagi kerja pemindahan stesen untuk menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Putrajaya baharu juga dibuka semula.
Penumpang boleh bertukar antara tren MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang di Kwasa Damansara selain ia turut menghubungkan laluan lain seperti perkhidmatan KTM di Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral) dan Kampung Batu.