Putera Saudi ‘Akrab’ Berhubung Dengan Pegawai Zionis Israel Melalui Whatsapp
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AHAD, 10 Julai 2022 – Alon Ben-David, seorang pengulas isu ketenteraan membongkarkan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud (MBS) berkomunikasi setiap hari dengan pegawai zionis Israel melalui aplikasi Whatsapp.
Alon yang merupakan wartawan Saluran 13 Ibrani berkata, laporan tersebut telah menyebabkan kekecohan di Israel kerana maklumat tentang kemajuan normalisasi kerajaan Arab Saudi dan zionis Israel didedahkan, termasuklah komunikasi harian pegawai tinggi dari kedua-dua negara.
Menurut Saudi Leaks, beliau juga mendedahkan bahawa istana Raja Salman di Riyadh telah menerima kunjungan ejen perisikan zionis Israel, Mossad, ketua kakitangan tentera Israel serta beberapa jeneral.
Banyak syarikat zionis Israel sudah mula beroperasi di negara Islam itu dan dipercayai beberapa syarikat sedang menjalankan misi perisikan berbahaya, ujar Alon.
Seorang wartawan media Israel, Yoav Limor berkongsi pengalamannya ketika berkunjung ke Arab Saudi. Katanya, “Arab Saudi sangat bagus. Mesra. Malah perkataan ‘Israel’ tidak membawa respon negatif. Tiada sesiapa pun memberi kami perasaan bahawa kami tidak dialu-alukan ke dalam kerajaan Arab Saudi.”
Dalam pada itu, Yoav mengatakan, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan berkunjung ke Arab Saudi pada minggu hadapan selepas lawatannya ke Israel.
Ujarnya, Biden akan membawa seorang pegawai tinggi Israel bersamanya ke Arab Saudi bagi mengeratkan lagi hubungan antara Tel Aviv dan Riyadh sekali gus mempromosikan langkah normalisasi dengan zionis Israel.
“Lawatan ke Riyadh menunjukkan betapa dalamnya perubahan yang berlaku pada kerajaan Arab Saudi hari ini. Daripada kerajaan konservatif kepada kerajaan yang perlahan-lahan terbuka untuk Barat di bawah pemerintahan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud,” tambah Youv.
Sebelum ini, samudera.my turut mendedahkan bahawa MBS sedang mempersiapkan peruntukan berbilion-bilion untuk memeterai perjanjian ketenteraan besar-besaran dengan Israel.