Pulih Gejala Sosial, 26 NGO Diberi Pengiktirafan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 29 Jun 2022 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Yang Berhormat Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad baru-baru ini hadir ke Kem PERKID Malaysia bagi merasmikan Bilik Detoksifikasi Kem PERKID Malaysia yang diinspirasikan dari bilik tahanan isolasi tahanan ISA.
Turut bersama menyambut kehadiran beliau adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nasaruddin Bin Hasan, Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM YADIM), Ustaz Mohd Najhan Shahir Bin Halim, Presiden PERKID MALAYSIA selaku tuan rumah Ustaz Masridzi Bin Sat, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, Ahli Majlis Penasihat PERKID Mohamad Jan Sulong, Ustaz Hj Mohd Farhan Abdullah Al-Hafiz Pengerusi Persatuan Madrasah Tahfiz dan Pondok Sabah (PERMASA), Pengerusi Yayasan PEMBELA Saudara Hj Mahmud, Hj Razali bin Daud dari MAMPIR, Hj Azraei Bin Hj Ahmad Shuhod Pengerusi Darul Islah Berhad dan pimpinan NGO-NGO lain serta masyarakat setempat.
Selesai sahaja majlis perasmian, Datuk Haji Idris kemudiannya melancarkan Plan Pembinaan Dewan Makan Dan Dapur Asrama Putera Kem PERKID Malaysia.
Pada hari itu juga, Menteri Agama itu turut menyampaikan sijil pengiktirafan kepada 26 NGO Islam seluruh negara dalam Majlis Anugerah ‘Jasamu Dikenang’ atas sumbangan mereka dalam merawat dan memulihkan golongan yang terjebak dengan gejala sosial menurut kaedah Islam.
Antara penerima sijil dan plak cenderahati berkenaan ialah Pertubuhan Jagaan Baitul Islah, Pondok Inabah Negeri Sembilan, Rumah Sahabat, Baitul Taubah Berhad, Rumah Perlindungan Budi dan Yayasan Darul Ukhwah.
Dalam ucapan alu-aluan, Ustaz Masridzi Bin Sat selaku Pengarah Program merangkap Ketua Kluster Sosial MAIM YADIM berkata, perjuangan NGO-NGO Islam dalam menubuhkan institusi rawatan pemulihan gejala sosial yg berteraskan kepada agama Islam telah dibuat selama puluhan tahun.
“Dari mencari tapak, membina penempatan hinggalah menjalankan modul-modul rohani agama dan kemahiran jasmani bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya penuh ranjau onak dan duri kerana penerimaan masyarakat masih lemah untuk membantu usaha perjuangan ini.”
“Selain itu pihak agensi-agensi Kerajaan pun masih tidak faham dan kurang membantu bahkan mewujudkan pelbagai syarat dan birokrasi kepada pengusaha-pengusaha institusi ini,” tambah beliau.
Walaupun begitu banyak kesukaran yang ditanggung, pengusaha institusi rawatan pemulihan NGO Islam terus istiqamah meneruskan khidmat baktinya kepada masyarakat dan negara.
“24 jam sepanjang tahun tanpa dapat cuti dan rehat yg cukup seperti orang lain,” kata Ustaz Masridzi yang juga merupakan Ketua Kluster Sosial PEMBELA.
Ujarnya lagi, kebejatan gejala sosial seperti ketagihan dadah, zina, seks bebas, gangsterisme, ancaman dan kes-kes murtad sudah begitu membarah dan sudah tidak mampu diuruskan oleh pihak Kerajaan lagi.
Justeru peranan NGO Islam yg menubuhkan institusi rawatan seperti Kem PERKID ini sangat-sangat diperlukan oleh masyarakat dan negara sebagai rakan strategik Kerajaan.
Menurut YDP YADIM Ustaz Nasaruddin Hasan, dalam ucapannya menyatakan, ramai pihak yang hanya pandai bercerita berkaitan kes-kes gejala sosial yang berlaku tetapi jarang-jarang sangat ada pihak yg memberikan solusi seperti yang dibuat oleh PERKID dan lain-lain institusi NGO yg bersama dengannya.
Oleh itu beliau mengucapkan tahniah kepada PERKID dan institusi rawatan pemulihan gejala sosial NGO-NGO Islam yang hadir dan menyeru pihak Kerajaan serta orang ramai bersama membantu dan menyokong perjuangan yang mulia ini.
Kenyataan ini turut dipersetujui oleh Menteri Agama di mana beliau juga berjanji untuk membantu dan menyokong segala usaha murni yang diperjuangkan oleh pengusaha intitusi rawatan pemulihan NGO-NGO Islam serta mengiktiraf peranan dan jasa mereka dalam membantu Kerajaan.
Datuk Nadzim Johan pula berkata, Kem PERKID ini perlu diberi sokongan untuk menjalankan kegiatan pemulihan jiwa secara kerohanian.
Untuk pengetahuan, Kem PERKID yang diusahakan oleh Ustad Masridzi bin Sat ini bertempat di Jalan Kg Sg Semungkis Batu 14 Hulu Langat, Selangor.
Pusat ini telah dibangunkan secara berperingkat sejak 30 tahun yang lalu.
JAKIM dan Polis sudah mula mendapatkan khidmat pusat pusat pemulihan seperti ini untuk menampung keperluan yang semakin meningkat.