PRU-15: TNB Gesa Penangguhan Kerja Pengorekan Tanah, Elak Gangguan Bekalan Elektrik
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 18 November 2022 – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggesa penangguhan kerja pengorekan tanah pada hari mengundi bagi mengelakkan berlaku gangguan bekalan elektrik.
Lapor berita tempatan, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood memaklumkan bahawa usaha berkenaan adalah bagi mengurangkan risiko kerosakan kabel dan menyentuh kabel elektrik.
“Nasihat kami, agar kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dulu dan jika tidak dapat dielakkan, patuhilah semua prosedur dan tatacara yang ditetapkan agar kita sama-sama dapat mengurangkan risiko gangguan,” ujarnya.
Tambah beliau, “TNB sendiri menangguhkan kerja-kerja sedemikian mulai 16 November di samping memberi tumpuan kepada memastikan kestabilan bekalan sepanjang PRU15, khususnya pada malam keputusan pilihan raya.”
Beliau turut mengatakan, TNB telah membuat persiapan bagi menjamin bekalan elektrik di 6,623 Pusat Mengundi dan 165 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi seluruh Semenanjung dalam keadaan baik pada hari pengundian PRU-15, 19 November ini.
TNB telah menempatkan pasukan petugas bagi memantau dan menunggu sedia sekali gus melakukan persediaan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik ke lokasi mengundi sentiasa terjamin.
Dalam pada itu, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di kesemua pusat mengundi dan penjumlahan undi.