Pondan & Masjid: SIS Tiada Autoriti Soal Hukum Agama – Firdaus Wong
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 03 Oktober 2021 – “Pertubuhan Sisters in Islam (SIS) bukanlah badan berautoriti untuk memperkatakan sesuatu berkaitan dengan soal hukum agama,” tegas Firdaus Wong Wai Hung.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berkaitan kenyataan media SIS yang mendakwa golongan transgender atau LGBT ini sedang didiskriminasi oleh agamawan di negara ini.
“Pertubuhan itu menganggap pihak Mufti yang telah mengeluarkan fatwa berhubung isu transgender yang tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid sebagai melanggar Perlembagaan Negara.”
Firdaus berkata, pondan hanya dilarang ke masjid atau surau, bukannya menafikan keperluan dan kewajipan mereka untuk solat kerana mereka masih diwajibkan solat menurut jantina asal mereka.
Jelasnya, sebagai masyarakat awam, kita perlu akur kepada keputusan para alim ulamak apabila membicarakan isu-isu berkaitan agama dan bukannya mengikut emosi dan perasaan semata-mata.
“Saya sangat menyokong pandangan dan nasihat para agamawan khususnya para Mufti yang telah bersuara mengenai isu transgender ini.”
Katanya lagi, Islam menyuruh kita bertanya kepada mereka yang ahli atau pakarnya, bukan mereka yang merasakan diri mereka pakar atau ahli.
“Kalau nak tahu tentang cara nak baiki kereta, tanya mekanik yang pakar. Nak tahu tentang sakit puan, maka tanya doktor sakit puan jangan tanya doktor sakit gigi walaupun doktor sakit gigi mungkin tahu serba sedikit.”
Dalam masa yang sama, pendakwah bebas ini turut menasihati golongan transgender dengan berkata, “Kalian diuji dengan kecenderungan hawa nafsu untuk menjadi jantina berlawanan dari jantina asal anda. Dekatkan diri kepada ajaran agama, dalami ajaran agama serta fahamilah agama dan kemudian amalkan sebaik mungkin.”
“Barangkali pahala kalian datangnya dari usaha kalian melawan hawa nafsu songsang itu. Ianya tidak mudah tetapi ianya juga tidak begitu sukar sehingga mustahil. Dekati Allah dan mintalah bantuan dariNya. In Sha Allah,” ujarnya.