Polis Delhi Larang Solat Jumaat Semasa Perayaan Holi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
DELHI, 25 Mac 2022 – Pihak polis Delhi melarang umat Islam daripada menunaikan solat Jumaat di 16 buah masjid tanpa sebarang penjelasan, berkemungkinan kerana perayaan Holi berlangsung pada hari Jumaat, lapor siasat.com.
“Polis melarang solat Jumaat didirikan di 16 buah masjid di kawasan Panchsheel, Delhi,” kata mantan Pengerusi Suruhanjaya Minoriti Delhi, Zafarul-Islam Khan di laman Twitternya.
Menurut Maktoobmedia, Polis Delhi melarang komuniti Muslim dari menunaikan solat Jumaat di Lal Gumbad, atau lebih dikenali sebagai Masjid Panchsheel Enclave Purani pada hari tersebut.
Masjid berusia 500 tahun itu merupakan monumen yang dilindungi di bawah Kajian Arkeologi India (ASI).
Imam masjid tersebut, Niyaz Ahamad berkata, polis memberitahu mereka untuk menunaikan solat Jumaat di lokasi lain pada hari itu.
Apabila disoal alasan mengapa larangan itu dikenakan, pihak polis enggan memberikan jawapan. Mereka juga tidak memberikan sebarang arahan bertulis mengapa solat Jumaat tidak dibenarkan didirikan di situ.
“Ini adalah kali pertama solat Jumaat dihentikan sejak empat puluh tahun yang lalu. Saya ingatkan mungkin disebabkan oleh perayaan Holi jadi tidak ada sesiapa yang akan melontarkan tepung-tepung warna ke masjid,” kata Ahmad.
“Saya beritahu mereka bahawa keadaan di sini aman damai dan tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Setiap lima tahun atau lebih, solat Jumaat dan perayaan Holi akan jatuh pada hari yang sama, tetapi tidak pernah dihentikan pun sebelum ini,” tambahnya lagi.
Imam Masjid Naim, Mohammad Khalid pula berkata, “Polis datang kepada kami dan mengatakan solat untuk hari in tidak boleh diadakan di masjid. Apabila disoal mengapa, mereka berkata bahawa jabatan arkeologi memerintahkan agar solat dihentikan di 16 buah masjid di Delhi.”
“Masyarakat Muslim kemudiannya mendirikan solat di kawasan taman. Pihak pentadbiran sedang mencuba untuk mengulangi boikot solat Jumaat di Gurgaon,” kata Mohammad Khalid.
Kaleemul Hafeez, Presiden AIMIM Delhi berkata, “Melarang umat Islam daripada menunaikan solat Jumaat bukan sahaja serangan terhadap hak asasi kita tetapi adalah penindasan yang jelas. Adalah salah di pihak Polis Delhi untuk tidak menunjukkan sebarang arahan bertulis kepada pihak berkuasa masjid.”
Oleh itu, beliau menuntut Polis Delhi memberikan jawapan siapa yang mengarahkan agar solat Jumaat dihentikan di 16 buah masjid.
“Adakah Amit Shah atau Arvind Kejriwal, Polis Delhi perlu menjawabnya,” ujarnya.
Amit Shah adalah Menteri Dalam Negeri dari Parti Bharatiya Janata manakala Arvind Kejriwal pula merupakan Ketua Menteri Delhi.
Untuk makluman, tarikh 18 Mac 2022 jatuh pada hari Jumaat. Pada hari itu, masyarakat Islam menyambut hari Jumaat dan Shab-e-Baraat (Nisfu Syaaban), manakala masyarakat Hindu pula meraikan perayaan Holi.