PM Bangladesh Mahu Pelarian Rohingya Kembali Ke Negara Asal
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
DHAKA, 18 Ogos 2022 – “Rohingya adalah warga Myanmar dan mereka perlu dibawa balik,” kata Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed kepada Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (PBB), Michelle Bachelet.
Menurut laporan sebuah portal antarabangsa, negara Bangladesh semakin tidak senang dengan kehadiran pelarian Rohingya yang berlindung di negara itu, apatah lagi dengan jumlah yang besar, selepas hampir lima tahun sejak peristiwa pembunuhan beramai-ramai etnik Muslim Rohingya di Arakan.
Sebelum ini, Hasina dan beberapa orang Menteri Kabinet negara itu menyuarakan kekecewaan mereka dengan sikap berdiam diri Myanmar untuk mengambil semula pelarian Rohingya di negara mereka.
“Beberapa pertemuan telah dilakukan antara kerajaan Bangladesh dengan Myanmar, namun tiada hasil yang dicapai,” kata Tanvir Chowdhury dari Al Jazeera.
Tambahnya, Bangladesh mengatakan bahawa Myanmar melambat-lambatkan janjinya untuk membawa pulang pelarian Rohingya, “Sementara di sini (Bangladesh), suasana sekitar semakin memusuhi pelarian Rohingya.”
Pihak berkuasa PBB dan Bangladesh telah mencuba sekurang-kurangnya dua kali untuk memulakan penghantaran pulang, tetapi pelarian enggan pergi menggunakan alasan bimbang dengan keselamatan mereka di Myanmar.