Tempatan

PKPD & PKP Penuh: Pahang Benarkan Solat Jumaat – JAIP

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PEKAN, 04 Jun 2021 – Menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyatakan bahawa solat Jumaat tetap akan didirikan di Pahang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi menjunjung Titah Perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang dengan mengambil kira sembah pandangan semua pihak, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah berkenan supaya pelaksanaan aktiviti ibadat di masjid, surau kebenaran Jumaat serta surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Negeri Pahang Darul Makmur berdasarkan ketetapan berikut: Solat Jumaat hendaklah tetap didirikan sama ada di masjid atau surau kebenaran Jumaat di Negeri Pahang,” kata Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali.

Bilangan jemaah yang dibenarkan untuk solat Jumaat di Masjid Negeri dan Masjid Daerah adalah seramai 50 orang.

Untuk solat fardhu pula, bilangan jemaah dibenarkan adalah seramai 12 orang.

“Masjid kariah dan surau kebenaran Jumaat – dibenarkan solat Jumaat 12 orang dengan diikuti oleh solat Zohor. Sementara itu, bagi solat fardhu jumlah dibenarkan adalah seramai 12 orang,” ujar beliau.

Surau pula hanya dibenarkan melaksanakan solat fardhu dengan bilangan jemaah seramai 12 orang.

Akan tetapi, bagi kawasan atau taman yang menghadapi pandemik Covid-19 (Hotspot), jumlah ahli bagi solat fardhu yang dibenarkan adalah empat orang sahaja.

Mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.

Tambah Dato’ Dr Haji Zulkifle, hanya solat Jumaat dan solat fardhu sahaja dibenarkan sepanjang PKPD dan PKP.

“Sebarang aktiviti selain solat Jumaat dan solat fardhu tidak dibenarkan.”

Tegas beliau, ahli kariah bermaustautin yang telah dikenalpasti, tidak bergejala dan yang telah menerima jemputan serta menerima vaksin hendaklah diberikan keutamaan untuk hadir solat Jumaat atau solat fardhu.

Manakala bukan warganegara adalah tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau kebenaran Jumaat atau surau sepanjang tempoh PKPD dan PKP dilaksanakan.

Ujar Dato’ Dr Haji Zulkifle lagi, pegawai yang bertugas di masjid, surau kebenaran Jumaat serta surau dikehendaki melakukan enam perkara berikut:

i. Membaca Qunut Nazilah pada solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu;

ii. Membaca wirid selepas solat dan diikuti dengan surah Yaasin selepas solat Maghrib dan Subuh;

iii. Membaca surah Al-Kahfi sebelum solat Jumaat;

iv. Membaca Al-Quran, tarhim atau taslim 15 minit sebelum azan;

v. Memperdengarkan bacaan Al-Quran, taslim atau tarhim Subuh menggunakan pembesar suara supaya didengari oleh ahli kariah; dan

vi. Menunaikan solat sunat hajat setiap selepas solat Maghrib.

“Pihak JAIP akan membuat pemantauan dan boleh mengambil tindakan kepada mana-mana masjid atau surau yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” akhiri Dato’ Dr Haji Zulkifle.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: