Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM Kesal Kerajaan Buang Nikotin Dari Akta Racun
KUALA LUMPUR, 05 April 2023 – Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) kesal dengan tindakan Kerajaan mengecualikan nikotin daripada senarai berjadual bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366] baru-baru ini.
Menerusi sebuah kenyataan media bertarikh 04 April 2023, Dr Farah Nini Dusuki berkata bahawa keputusan itu boleh memberi kanak-kanak akses terhadap cecair dan gel yang mengandungi nikotin malah boleh mengakibatkan kesan buruk kepada kesihatan tanpa sebarang sekatan undang-undang.
Tegasnya, keputusan tersebut bertentangan dengan Akta Kanak-Kanak 2001 yang mengakui bahawa kanak-kanak memerlukan penjagaan, bantuan dan perlindungan khusus termasuk daripada asap dan persekitaran yang tercemar dengan nikotin.
“Menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memastikan bahawa kanak-kanak tidak terdedah kepada perkara yang memudaratkan kesihatan fizikal dan emosi mereka,” ujar beliau.
BACA JUGA: Masjidil Aqsa Diserang Lagi!
BACA JUGA: 4 Hutan Di Kelantan Berisiko Terbakar Kemarau Ini
BACA JUGA: Kenyataan PM Tidak Tepat, Hina Orang Melayu
Menurutnya lagi, walaupun banyak bukti yang mengaitkan nikotin dan bahan toksik dari e-rokok dengan kerosakan perkembangan otak didedahkan, Kerajaan tetap mengambil keputusan tersebut yang meletakkan golongan ini dalam risiko ketagihan nikotin yang tinggi.
Dalam pada itu, Dr Farah juga menjelaskan bahawa mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal membolehkan produk nikotin digunakan oleh individu yang berusia di bawah 18 tahun, memandangkan larangan oleh Seksyen 17 Akta 336 tidak lagi terpakai.
Mengulas lanjut, pesuruhjaya itu maklum berhubung usaha Kerajaan untuk mengurangkan pengambilan tembakau dengan kenaikan cukai bahan itu, namun ia tidak wajar dikelirukan dengan membuka ruang kepada kebanjiran produk nikotin kepada pengguna baru, terutamanya kanak-kanak.
CC juga berpendapat bahawa keputusan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952 akan menjurus kepada pertambahan kes penyakit berkaitan paru-paru, meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan dan membebankan sistem kesihatan awam.
“Perkara ini jelas bercanggah dengan matlamat Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan jumlah perokok daripada 40% kepada 15% menjelang tahun 2025.”
Lantaran itu, CC menggesa Kerajaan terus memenuhi komitmen membina persekitaran bebas asap rokok kerana pengabaian usaha ini akan mendorong kesan berpanjangan kepada kesihatan dan persekitaran kanak-kanak, malah menggugat konsep ‘Malaysia Madani’.